Laporan oleh Majlis Penasihat Kerajaan perlu kekal sebagai dokumen sulit kerana kandungannya yang sensitif, kata pakar ekonomi Jomo Kwame Sundaram.
Jomo yang juga merupakan bekas anggota majlis penasihat berkenaan memberitahu wartawan hari ini bahawa maklumat di dalam laporan berkenaan yang disediakan untuk Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad boleh disalah guna oleh pihak yang mempunyai motif tertentu sekiranya ia dijadikan dokumen awam.
"Kita tidak pernah menulis laporan itu dengan niat untuk menerbitkannya. Niat kami adalah untuk menasihati perdana menteri, yang mana kami jangka dia akan kongsi (laporan itu) dengan menteri yang berkaitan, untuk mereka buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas memberi ceramah di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia di Kuala lumpur petang tadi.
Memberi contoh, Jomo berkata,terdapat perincian dalam laporan berkenaan yang jelas akan memberi kesan kepada perniagaan tertentu dan kerajaan perlu berhati-hati menangani maklumat itu.
"Begitu juga dengan perkara yang memberi kesan kepada negara lain. Kita perlu berhati-hati dengan maklumat itu.
"Sangat penting untuk rakyat menyedari bahawa walaupun kerajaan hari ini perlu lebih telus dan lebih bertanggungjawab, itu tidak bererti setiap langkah kerajaan perlu didedahkan," katanya.
Jomo berkata demikian sebagai mengulas kenyataan terbaru Dr Mahathir bahawa laporan Majlis Penasihat kerajaan yang diserahkan minggu lalu mungkin tidak akan didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun, Jomo menambah, terdapat bahagian dalam laporan itu yang tidak sensitif untuk disiarkan namun boleh disalah guna untuk mengkritik keputusan kerajaan.
Jomo juga memetik Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperkenalkan oleh HARAPAN sebagai contoh.
"Katakan SST sudah diumumkan. Apa relevan mempunyai alternatif lain (bagi cukai berkenaan) ketika ini? Kerana ia akan disalah guna oleh orang yang mempunyai motif tertentu, yang akan kata, tak patut buat ini dan itu," katanya.
