Kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjanji untuk menghalang orang asing daripada membeli hartanah projek Forest City di Johor akan diperhalusi untuk penyelesaian terbaik, kata Zuraida Kamaruddin.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata beliau sudah mendapat arahan untuk mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu.
"Kita akan perhalusi (kenyataan Dr Mahathir) dan berbincang dengan pihak terlibat, termasuk pemaju untuk melihat penyelesaian terbaik.
"Selepas bermesyuarat, kita akan memberikan laporan kepada perdana menteri berhubung perkara ini, dan beliau akan mempertimbangkan tindakan afirmatif dan garis panduan di masa depan," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis kementerian itu di Putrajaya hari ini.
Zuraida juga menyorot bahawa beberapa hartanah di Forest City telah dijual di China, tapi tidak melalui sistem tempatan.
Forest City yang dibina oleh syarikat China, Country Garden Holdings dalam usahasama dengan Sultan Johor direncanakan untuk menjadi bandar pintar berkeluasan 13.86 km/persegi di empat pulau buatan.
Pemaju memberi gambaran populasi penduduk seramai 700,000 pada 2035, namun projek itu dilihat dipasarkan untuk orang asing.
"Kita tidak ada berbincang dengan Forest City. Ketika projek ini dilancarkan (di bawah pentadbiran BN), ia tidak melalui Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN)," katanya.
Tambah Zuraida, perjumpaan dengan pemaju akan membantu dalam meneliti mekanisme yang sesuai dalam menilai hartanah di kawasan itu.
"Kita akan mengadakan pertemuan dengan mereka dan meneliti perjanjian itu dan syarat yang ditetapkan (sebelum ini)," katanya.
Ditanya jika kenyataan Dr Mahathir semalam bererti penjualan tanah kepada orang asing, Zuraida berkata: "Ya kerana mereka perlu mendapat penjelasan kecuali mereka tak dengar apa Dr Mahathir umumkan.
"Tapi saya rasa mereka dengar, jadi mereka perlu tulis surat dan tanya situasi sebenar.
"Sebelum dia tulis kita akan buat satu jawatankuasa untuk kita mengkaji, menyemak semula terma yang telah dipersetujui yang dulu dan sebagainya," katanya.
