Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK: Barah kabilah kronisme akan bunuh reformasi jika tak ditangani
Diterbitkan:  Aug 29, 2018 9:11 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

PEMILIHAN PKR | Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan, "budaya kabilah kronisme dalam PKR kian membarah dan akan membunuh gerakan reformasi secara perlahan-lahan jika tidak ditangani dengan cermat."

"Para pimpinan PKR bertanggungjawab untuk mempertahankan prinsip reformasi dengan membawa semangat keadilan dan ketelusan terlebih lagi menerapkan prinsip ini ke dalam pemerintahan sebuah kerajaan.

"Prinsip ini seakan dicemari tatkala segelintir pimpinan mula bersikap seperti "si kaduk naik junjung" apabila diberikan kuasa terlebih lagi selepas PKR menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan.

"Agihan kuasa tanpa meritokrasi yang hanya tertumpu kepada kabilah tertentu merosakkan perjuangan reformasi," kata Penolong Setiausaha AMK, Syed Badli Syed Osman dalam suatu kenyataan hari ini.

Mengenai peribahasa "kaduk naik junjung" ini, walaupun Syed Badli tidak menyebut sebarang nama, namun dipercayai kenyataan itu merujuk beberapa pimpinan PKR yang kini memegang jawatan menteri persekutuan.

Setia pada Anwar

Dalam kenyataan yang difahamkan berkaitan dengan pemilihan PKR ini, Syed Badli menggesa anggota parti setia kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan memilih timbalan presiden PKR yang tidak bercita-cita tinggi demi tembolok sendiri.

"Justeru persoalan utama kini adalah siapa yang mampu untuk mendukung prinsip reformasi dan memastikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku presiden.

"Anwar perlu disokong oleh orang nombor dua yang diyakini mampu mempermudahkan perjalanan PKR dan bukannya individu yang bercita-cita tinggi demi tembolok dan kabilah sendiri," katanya lagi.

Semalam, Naib Presiden PKR Tian Chua dalam wawancara bersama Malaysiakini menjelaskan Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kurang aktif berkempen dalam pemilihan kerana memfokuskan pada urusan pentadbiran kerajaan.

"Kami tidak boleh mengabaikan semua keja pentadbiran untuk pertandingan jawatan parti kami dan mengecewakan orang ramai," katanya yang akan mempertahankan jawatan pada pemilihan kali ini.

Selain Azmin yang menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Zuraida Kamaruddin dan Dr A Xavier Jayakumar juga di dalam kabinet.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula dilaporkan dalam kem calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli. Bagaimanapun, Saifuddin tidak bertanding dalam pemilihan

Terdapat 12 calon yang menyasarkan jawatan naib presiden PKR, termasuk lapan orang daripada kem Azmin dan Rafizi.

Kem Azmin menawarkan Chua, Xavier, Zuraida dan Shamsul Iskandar Md Akin manakala kem Rafizi menawarkan Nurul Izzah Anwar, Datuk Johari Abdul, William Leong dan S Kesavan untuk jawatan.

Setakat ini, Rafizi telah berkempen secara aktif di Sabah, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor tetapi terdapat sedikit bukti bahawa mereka yang bersekutu dengan Azmin melakukan perkara yang sama.

Lihat Komen
ADS