Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pengumuman kerajaan HARAPAN yang berubah-ubah boleh resahkan pelabur'
Diterbitkan:  Aug 29, 2018 11:37 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Terdapat "corak komunikasi perhubungan awam yang mengganggu" berhubung cara penadbiran HARAPAN membuat pengumuman dasarnya, yang terbaru adalah dasar Putrajaya mengenai projek Forest City di Johor, kata Centre for a Better Tomorrow (Cenbet).

Badan pemikir itu berkata pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang asing tidak akan dibenarkan memiliki hartanah di Forest City mengejutkan ramai pihak, malah kerajaan Johor juga.

"Sehari kemudian, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan warga asing dibenarkan memiliki hartanah, (tetapi) tertakluk kepada syarat-syarat. Jurang komunikasi sedemikian boleh menyebabkan kegelisahan di kalangan pelabur.

"Ia juga menimbulkan persoalan mengenai pencerobohan kerajaan persekutuan terhadap perkara tanah, yang mana hak tersebut diperuntukkan di bawah bidang kuasa negeri," kata Cenbet dalam satu kenyataan hari ini.

Contoh lain "jurang komunikasi" itu, termasuklah kenyataan bercanggah yang dibuat oleh tokoh-tokoh kerajaan mengenai projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

"Projek bernilai berbilion ringgit ini melibatkan kerajaan dan pelabur asing, sebarang perkembangan utama akan menarik sorotan liputan media antarabangsa.

Perlu lebih banyak FDI

"Dengan kerajaan baru di Putrajaya, negara perlu meredakan kebimbangan pelabur, bukan menambah ketidakpastian, terutama apabila kita memerlukan lebih banyak FDI dalam landskap ekonomi yang semakin pesat bersaing," kata Cenbet itu.

Badan itu juga mendesak Putrajaya untuk berhati-hati dalam membuat pengumuman pada masa depan dan memastikan bahawa terdapat proses sewajarnya yang perlu dilakukan terlebih dahulu, termasuk penglibatan pihak berkepentingan untuk memastikan urus tadbir yang baik.

Projek Forest City adalah usaha sama antara Country Garden Holdings - salah sebuah firma hartanah terbesar China - dan syarikat berkaitan Sultan Johor.

Ia terletak berhampiran pelabuhan Tanjung Pelepas, merangkumi kawasan seluas 1,386 hektar di empat pulau buatan manusia.

Ia dipasarkan sebagai projek pembangunan bercampur dan pada mulanya bertujuan untuk menarik pembeli dari China. Dianggarkan penduduk Forest City akan mencecah 700,000 orang menjelang 2035.

Ia dilancarkan pada tahun 2014 oleh pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, yang memberikan status bebas cukai dan menawarkan pemaju pengecualian cukai yang memberangsangkan.

Pada kempen PRU14 lalu, Mahathir berulang-kali mengkritik projek tersebut mengatakan ia bakal mengubah penduduk Johor secara mendadak dan projek hartanah tidak sepatutnya hanya disasarkan untuk dijual khusus untuk orang asing sahaja.

Lihat Komen
ADS