The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) memeterai perjanjian jual beli bersyarat untuk melupuskan bangunan ibu pejabatnya di Kuala Lumpur, sebuah loji percetakan di Shah Alam serta sebidang tanah kosong.
Jika perjanjian dengan syarikat PNB Development Sdn Bhd itu terlaksana, ia akan menjana perolehan sebanyak RM280 juta untuk NSTP, sebuah syarikat yang kini dimiliki 98.17 peratus oleh Media Prima Bhd (Media Prima).
Berdasarkan kenyataan Media Prima kepada Bursa Malaysia hari ini bangunan ibu pejabat NSTP - lebih dikenali sebagai Balai Berita - dianggarkan bernilai RM118,720,000 manakala loji percetakan di Shah Alam - turut digelar sebagai Balai Berita 2 - dinilai pada harga RM127,900,000.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian berkenaan NSTP mencadangkan bayaran sewa bulanan sebanyak RM1.38 juta bagi membolehkan kedua-dua hartanah itu digunakan lagi selama enam tahun.
NSTP kini memiliki tempoh selama 90 hari bagi mendapatkan persetujuan daripada pemegang saham Media Prima melalui mesyuarat agung luar biasa yang akan diadakan tidak lama lagi.
NSTP ialah syarikat penerbitan akhbar tertua di negara ini. Ketika ini ia menerbitkan harian berbahasa Inggeris, New Straits Times, serta dua akhbar berbahasa Melayu, Berita Harian (BH) dan Harian Metro. Ia juga mengendalikan beberapa laman sesawang.
Media Prima yang mencatat kerugian bersih RM669.66 juta untuk tahun kewangan berakhir 2017 berkata penjualan dua hartanah itu akan memberikan lonjakan serta-merta terhadap aliran tunai mereka bagi membiayai Project Odyssey - merujuk kepada pelan transformasi syarikat itu bagi mempelbagaikan aliran pendapatannya.
"(Penjualan itu) akan membolehkan kumpulan mengurangkan kadar pinjaman dengan ketara (dan) membawa simpanan faedah dan aliran masuk tunai.
"Seterusnya ini membolehkan kumpulan memperuntukkan sumber-sumbernya bagi mengukuhkan perniagaan sedia ada dan dijangka menyumbang secara positif ke arah pelan transformasi keseluruhan kumpulan," kata syarikat itu dalam kenyataan tersebut.
