Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tentera Myanmar palsukan gambar untuk fitnah Rohingya
Diterbitkan:  Aug 31, 2018 1:13 PM
Dikemaskini: 5:23 AM

GLOBAL | Bagi menangani kecaman antarabangsa terhadap kerajaan, tentera Myanmar pun menerbitkan satu buku, barangkali dianggap langkah mudah untuk mempertahankan diri.

Dalam buku itu dipaparkan sekeping gambar - agak kabur dan hitam putih - menunjukkan seorang lelaki berdiri di gigi air. Berhampiran lelaki itu dua mayat yang separuh tenggelam.

"Bengali membunuh kejam etnik tempatan," kata keterangan gambar di bawah imej berkenaan.

Ia adalah sebahagian daripada kandungan pada bab rusuhan kaum di Myanmar pada 1940-an. Keteranan gambar itu antara lain mahu menunjukkan bagaimana penganut Buddha Myanmar dibunuh oleh orang Rohingya.

Kerajaan Myanmar memang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai warganegara, dan menggelar masyarakat terbabit sebagai "Bengali" untuk menunjukkan mereka adalah pendatang.

Namun agensi berita Reuters mendapati tentera Myanmar sebenarnya menipu. Gambar lelaki bersama mayat itu dirakam semasa perang untuk mendapatkan kemerdekaan Bangladesh daripada Pakistan pada 1971.

Mayat itu adalah individu tidak dikenali yang dibunuh tentera Pakistan.

Dalam laporan eksklusifnya Reuters menyatakan mereka membuat semakan menggunakan kemudahan enjin carian Google dan TinEye yang sering dimanfaatkan pertubuhan berita bagi mengesan keaslian sesuatu imej.

Semua tak mahu komen

Semakan juga mendapati ada sekeping gambar lain - yang dikaitkan dengan Rohingya - sebenarnya dirakam di Tanzania.

Ia adalah gambar etnik Hutu di Rwanda yang melarikan diri daripada konflik di negara berkenaan.

Jabatan Perhubungan Awam dan Perang Saraf Tentera Myanmar menggunakan gambar itu dan melabelnya sebagai kemasukan etnik Rohingya dari Bangladesh ke negeri Rakhine.

Sekeping gambar menunjukkan pelarian Rohingya bersesak-sesak dalam bot juga dimanipulasi tentera Myanmar.

Gambar itu sebenarnya menunjukkan etnik Rohingya menaiki bot bagi melarikan diri dari Myanmar pada 2015. Sebahagian daripada mereka pergi ke Malaysia.

Namun di tangan tentera Myanmar gambar itu diubah suai, dikaburkan dan dicetak dalam hitam putih. Keterangan gambar pula mendakwa kononnya itu ialah pendatang "Bengali" yang memasuki Myanmar melalui jalan air.

Buku berjudul Politik Myanmar Dan Tatmadaw: Bahagian 1 itu diterbitkan oleh tentera Myanmar pada Julai lalu.

Ia diuar-uarkan sebagai naskhah yang membawa maklumat sebenar mengenai krisis di negara itu.

Sementara itu jurucakap kerajaan Zaw Htay dan jurucakap tentera tidak dapat dihubungi Reuters bagi mendapatkan komen mereka.

Menurut Reuters, setiausaha tetap Kementerian Penerangan Myanmar U Myo Myint Maung pula berkata dia enggan memberi sebarang kenyataan dan tidak membaca buku yang dimaksudkan itu.

Untuk rekod tekanan dan keganasan pihak berkuasa Myanmar ke atas etnik Rohingya yang beragama Islam sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Krisis itu juga mengorbankan begitu ramai nyawa orang Rohingya, selain memaksa hampir sejuta lagi menjadi pelarian.

Lihat Komen
ADS