Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tajuddin dakwa Melayu hilang kuasa, k'jaan didominasi bukan Melayu

Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa Melayu hari ini telah hilang kuasanya selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, ini kerana kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini telah dikawal oleh kalangan bukan Melayu.

“Pada hari ini, kita telah kehilangan kuasa, orang Melayu telah kehilangan kuasa. Lebih separuh daripada jawatan dalam kerajaan hari ini dipegang oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam.

"DAP sendiri mempunyai lima atau enam jawatan, dan mereka juga mempunyai lebih banyak timbalan menteri. Separuh daripada kerajaan adalah kerajaan DAP," katanya kepada ribuan yang menghadiri Himpunan Kebangkitan Melayu di Pekan Kampung Gajah di Pasir Salak, Perak, malam tadi.

Untuk rekod, 17 daripada 28 menteri dalam kerajaan HARAPAN adalah orang Islam Melayu manakala dua lagi adalah bumiputera bukan Islam. Manakala sembilan yang lain bukan Melayu.

Dalam ucapannya juga, Tajuddin turut mendakwa DAP berpura-pura menerima Islam sebagai agama persekutuan dan keistimewaan Melayu seperti dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“DAP, kita tahu muslihat mereka. Mereka ini berpura-pura menerima Perlembagaan Persekutuan, menerima Islam sebagai agama Persekutuan, menerima hak istimewa orang Melayu.

“Tapi, kita tahu mereka ini penipu," tegas Tajuddin disambut sorakkan hadirin.

'DAP musuh Melayu-Islam'

Selain itu, Tajuddin juga turut mengisytiharkan DAP sebagai sebagai musuh kepada orang Melayu dan Islam.

"DAP adalah musuh orang Melayu, musuh Islam kerana mereka hendak mewujudkan sistem tanpa Raja, mereka nak wujudkan sistem republik supaya ketua negara bukan Melayu dan bukan bergama Islam seperti di Singapura dapat dilantik.

"Adakah kita mahu ketua negara yang bukan Melayu dan bukan Islam menjadi pelindung Melayu dan Islam? Tentu sekali tidak" katanya.

Untuk rekod, ketua negara di Singapura ketika ini adalah seorang Melayu, iaitu presiden Halimah Yacob manakala ketua kerajaan Singapura ialah Lee Hsien Loong.

Selain itu, Tajuddin juga mendakwa orang Melayu akan dibersihkan daripada kerajaan.

"Orang-orang Melayu dalam kerajaan dibuang, walaupun pada bulan puasa, dan lebih ramai lagi anak Melayu muda akan dipecat daripada kerajaan.

"Kita semua di kampung mesti sedar dan bangun untuk menjaga nasib anak dan cucu kita," katanya.

Di samping itu, Tajuddin menyeru perpaduan di kalangan orang Melayu.

"Perjuangan mesti diteruskan, mari kita bangkit bersama dengan nama" Melayu "dan memulihkan kuasa kepada orang Melayu dan Islam," katanya.

Tajuddin turut mengecam orang Melayu yang bercakap mengenai perhimpunan perkauman yang menuduh mereka menjadi pengkhianat.

“Kita beri amaran kepada mereka yang menjadi pengkhianat kepada bangsa dan agama Islam.

“Jangan jadi pengkhianat, kalau tak mampu jaga bangsa kamu, kamu tak mampu jaga agama Islam, bagi kami yang berhimpun di sini, orang Melayu mempertahankan Melayu dan agama Islam,” katanya.

Himpunan yang dianjurkan oleh Tajuddin itu didakwa disertai 10,000 hadirin.

Bagaimanapun, wartawan Malaysiakini yang berada di lokasi menganggarkan 5,000 hadirin.

Ia turut disiarkan secara langsung di Faceook oleh Utusan.

Ketika ditemui media selepas program itu, Tajuddin dengan tegas menyatakan beliau tidak takut dengan laporan polis yang dibuat ke atasnya atas dakwaan perkauman.

“Saya tidak takut, kenapa mesti saya takut? Apa salah saya?

“Saya mengadakan perhimpunan ini sebagaimana yang semua telah setuju bahawa himpunan ini tidak mengancam, menyerang, menuduh dan menggangu gugat orang lain, pihak mahu pun agama lain

“Kita cuma pertahankan hak kita, hak itu pun termaktub dalam perlembagaan, bukan kita tentang perlembagan,” katanya.

Malah, kata Tajuddin, beliau akan bertanggunjawab dengan semua tindakannya itu.

“Saya bersedia untuk bertanggungjawab diatas penganjuran himpunan malam ini dan saya nak beri amaran kepada mereka yang buat laporan terhadap saya bahawa lebih ramai lagi orang Melayu akan bangkit kalau tindakan diambil kepada saya dengan menudih saya ini rasis,” tambahnya.

Lihat Komen
ADS