Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ketua Pemuda Umno: Kebangkitan Melayu bermula di Pasir Salak

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata ribuan yang hadir ke pekan Kampung Gajah, Pasir Salak, bagi menyertai Himpunan Kebangkitan Melayu malam tadi menjadi petanda orang Melayu sedia mempertahankan hak istimewa, kedaulatan Raja-raja dan Islam.

"Saya percaya Melayu akan bangkit, bermula di Pasir Salak ini. Hari ini adalah isyarat kita kepada mereka yang cuba memainkan sentimen ini.

"Kita nak beri isyarat kepada puak-puak DAP, mereka inilah cauvinis, rasis, yang datang menjadi pengkhianat dan penyangak yang meruntuhkan kestabilan negara," katanya.

Himpunan tersebut dianjurkan Umno Pasir Salak. Ketua bahagiannya yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dalam pengumumannya menyatakan kira-kira 10,000 yang hadir malam tadi.

Anggaran wartawan Malaysiakini di lokasi pula adalah 5,000 kehadiran.

Himpunan dimulakan dengan tayangan video kisah Leftenan Adnan dan deklamasi sajak bertemakan pejuang-pejuang Melayu menentang British ketika sebelum kemerdekaan.

Laungan seperti 'Melayu bangkit', 'hidup Melayu' dan 'Daulat Tuanku' bergema sepanjang himpunan oleh hadirin yang kebanyakannya memakai lilitan kepala dan membawa sepanduk tertera 'Melayu bangkit'.

Dalam ucapannya, Asyraf (gambar) berkata mereka tidak teragak untuk membawa himpunan tersebut ke seluruh negara, termasuk Kuala Lumpur.

"Kalau mereka masih cuba menidakkan hak kita, memainkan sentimen Melayu-Islam, kita tidak akan teragak-agak untuk turun beramai-ramai.

"Kita akan ajak sahabat daripada PAS, kena beritahu mereka 'cukuplah, kita sudah lama bermusuh'...Sampai bila kita mahu diperlekehkan?" soalnya lagi.

DAP sekali lagi tidak terlepas daripada dijadikan subjek serangan dalam himpunan seumpama ini dan Asyraf tidak terkecuali.

Beliau membangkitkan kenyataan bekas pengerusinya mendiang Karpal Singh pada era 1990-an yang dilaporkan berkata "langkah mayatnya jika ingin menjadikan Malaysia negara Islam".

"Tak pernah dalam sejarah kita Islam mula diperkotak-katikkan," katanya yang menyangkal DAP sebagai sebuah parti pelbagai kaum.

“Hakikatnya pernah kita dengar puak DAP memperjuangkan hak Melayu? Pernah tak kita dengar puak DAP memperjuangkan hak Islam? Tidak,” katanya lagi.

Untuk rekod, pemimpin DAP berulang-kali menafikan dakwaan parti itu ingin menghapuskan hak orang Melayu dan berkata golongan itu akan tetap dibela jika mereka menjadi kerajaan.

Ucapan daripada pemimpin lain juga berkisar kepada keadaan politik semasa dan kesannya terhadap orang Melayu dan agama Islam.

Antara pemimpin lain yang hadir adalah Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam, Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan dan Pengerusi Umno Perak Datuk Saarani Mohamad.

Di akhir himpunan, Ketua Pemuda Umno Pasir Salak merangkap pengerusi program Faizal Tajuddin membacakan resolusi yang menunutut kedaulatan Raja-raja Melayu dikekalkan, hak istimewa Melayi tidak dipertikai dan Islam dipertahankan.

Lihat Komen
ADS