Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan: Satu renungan makna syura

ULASAN | Syukur alhamdulillah saya telah direzekikan menjadi tetamu Allah di musim haji kali ini. Ketika menulis artikel ini, saya salah seorang daripada dua juta jemaah Haji di Mekah. Di sana saya terkenang catatan Malcolm X yang mengungkap pengalamannya menunaikan ibadah ini:

Terdapat puluhan ribu jemaah yang datang dari seluruh pelusuk dunia. Mereka terdiri daripada pelbagai warna kulit, dari mereka yang berkulit putih bermata biru, sehingga mereka yang berkulit hitam dari Afrika. Tetapi kami semua melaksanakan ritual yang sama, menunjukkan semangat kesatuan dan persaudaraan.”

- Letter from Mekah, Malcolm X

Pengalaman Haji beliau telah berjaya mengubah pendiriannya. Sepulangnya dari tanah suci, Malcolm X memisahkan dirinya daripada pandangan radikal berdasarkan kaum. Sebaliknya beliau menjiwai nilai kesatuan sesama manusia.

Pengalaman Malcolm X ini mirip dengan apa yang telah berlaku pada 9 Mei 2018. Berjuta-juta rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, bersatu demi mencipta Malaysia baru. Peristiwa ini membuktikan bahawa aspirasi yang kuat mampu mengubah sesuatu yang mustahil menjadi realiti.

Walaupun klise, kesatuan dalam kepelbagaian merupakan tanda aras bagi masyarakat yang matang – di mana perbezaan dihormati dan dirai sebagai inti pati pembangunan negara.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) secara jelas terhasil daripada semangat ini. FPK yang diwujudkan pada tahun 1988 sewaktu Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menteri pendidikan, menyatakan:

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

- Falsafah Pendidikan Kebangsaan, 1996

Demi melaksanakan falsafah ini dalam Dasar Pendidikan Negara (DPN), Akta Pendidikan Negara 1996 (Akta 550) telah membentuk Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang berperanan untuk menasihati kerajaan dalam pendidikan.

Saya berpegang kepada musyawarah dengan pakar daripada pelbagai bidang dalam pembentukan dasar pendidikan. Malah lebih 1,400 tahun dahulu, dalam sebuah negeri yang jaraknya 340km dari Mekah, Nabi Muhammad SAW telah membina masyarakat Madinah yang utuh atas prinsip syura.

Abu Hurairah meriwayatkan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih senang untuk meminta nasihat para sahabatnya melainkan Rasulullah [diriwayatkan oleh Al Tirmidhi].”

Bahkan Allah memuji dan memerintahkan Nabi:

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Ali Imran: 159)

Al Raysuni mengulas bahawa Rasullullah sebagai “seorang pembimbing, pendidik, panglima dan pemimpin” harus “berlaku lemah lembut, baik hati, penyayang; bertoleransi atas kegagalan dan memaafkan mereka yang melakukan dosa”.

Ayat ini juga menyeru Rasulullah untuk menerima nasihat orang lain dan mempertimbangkan pendapat mereka. Dengan melihat prinsip ini, kami telah melantik tujuh orang ahli, manakala empat orang ahli lain akan diumumkan kelak, untuk berkhidmat sebagai ahli MPPK dalam memartabatkan sistem pendidikan negara.

Keterangkuman dalam MPPK

Saya percaya bahawa Pengerusi MPPK iaitu Tan Sri Wan Zahid Mohd Noordin, sebagai bekas Ketua Pengarah Pendidikan dan mantan Pengerusi MPPK (sesi 2010-2012), akan menasihati saya dengan sewajarnya.

Tan Sri Wan Zahid adalah tokoh pendidikan. Aspirasi beliau jelas, iaitu memastikan pendidikan dapat diakses secara sama rata; melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat global serta menanamkan nilai kasih sayang dan pembelajaran yang seronok di sekolah.

Tan Sri Yong Poh Kon, Timbalan Pengerusi MPPK pula ialah tokoh korporat yang telah banyak menyumbang dalam bidang pendidikan. Kepakaran beliau akan membantu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan mengikut arus indsutri serta mengurangkan kadar pengangguran graduan.

Lima orang ahli MPPK yang lain juga mewakili pemegang taruh (stakeholders) penting dalam sistem pendidikan.

Sebagai pengasas dan pengerusi Parent Action Group for Education (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim membawa sudut pandang ibu bapa. Tambahan pula, beliau merupakan Pengerusi Yayasan Pendidikan Elena Cooke yang membantu anak-anak miskin untuk menyambung pengajian tinggi.

Selain itu, Dato’ Satinah Syed Saleh telah memainkan peranan penting dalam penggubalan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555). Beliau juga merupakan Ketua Pejabat Pengurusan Projek (Fasa 1), yang mengkaji semula sistem pendidikan sehingga tercetus Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Datuk Dr Sukiman Sarmani pula mempunyai pengalaman selama 40 tahun sebagai pensyarah dan pentadbir akademik yang menyelia pembangunan dan penilaian kurikulum sains di universiti.

Brigadier Jeneral Dato’ Yusri Anwar, yang kini bertugas sebagai Panglima Kumpulan Artileri Pertahanan Udara juga telah dilantik. Mengapa seorang ahli tentera dipilih?

Pandangan beliau diperlukan untuk menyuntik semangat patriotisme melalui pendidikan. Kecintaan terhadap tanah air dan kesediaan untuk berkorban adalah penting dalam pembangunan negara.

Profesor Dr Ruzita Mohd Amin, pakar bidang ekonomi dan pendidikan Orang Kurang Upaya (OKU) telah dilantik untuk memastikan golongan OKU mendapat peluang yang sama dalam sistem pendidikan.

Beliau mengetuai Unit Perkhidmatan Ketidakupayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan bekas anggota Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya. Profesor Dr Ruzita berpegang kuat dengan pendidikan inklusif dalam transformasi pendidikan khas negara.

Sebagaimana yang telah saya zahirkan sebelum ini, selepas pindaan undang-undang, akan ada penambahan empat orang ahli baru dalam MPPK. Mereka terdiri daripada para pendidik yang akan mewakili sudut pandang dari Sabah dan Sarawak, serta wakil masyarakat India.

Komposisi MPPK melambangkan cita-cita saya untuk mewujudkan ekosistem pendidikan yang berdaya saing secara global, di samping memupuk tiga nilai teras iaitu kebahagiaan, kasih sayang dan hormat-menghormati.

Saya yakin bahawa ahli MPPK akan memberikan pandangan yang bernas demi membangunkan sistem pendidikan yang holistik dan inklusif. Usaha ini bertujuan untuk merealisasikan harapan rakyat Malaysia di semua lapisan masyarakat.


MASZLEE MALIK ialah menteri pendidikan Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS