Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lim ulang sekali lagi: Kad prabayar tak dipotong selepas SST

Menteri Kewangan Lim Guan Eng sekali lagi menegaskan nilai kad prabayar telefon tidak seharusnya dipotong selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau juga mempersoalkan tindakan syarikat telekomunikasi yang menurutnya "menyukarkan kehidupan" banyak pihak.

Kenyataannya itu susulan rungutan pengguna bahawa nilai kad prabayar mereka dipotong berdasarkan peratusan SST, yang berkuatkuasa semalam.

Ketika sesi taklimat sistem cukai itu di Kota Kinabalu hari ini, beliau berkata kementeriannya akan bertemu dengan syarikat telekomunikasi untuk menyelesaikan perkara itu.

"Kepada yang menggunakan (kad) prabayar...apa yang dicakap sekarang (ia dikenakan SST) tidak betul. Tak payah buat dua kali (pemotongan cukai). Jika anda guna prabayar, anda bayar RM10 dan dapat (nilai) RM10. Tiada pemotongan.

"Mengapa mereka (syarikat telekomunikasi) mahu sukarkan hidup (pengguna)? Tiada kerja lain? Kita akan jumpa syarikat-syarikat ini," katanya.

Mulai semalam, SST menjadi sistem percukaian menggantikan GST yang sudah berkuatkuasa kira-kira dua tahun. Kementerian Kewangan sebelum ini berkata akan menyemak semula senarai barangan yang dikenakan cukai itu hujung tahun ini, berdasarkan maklum balas orang ramai.

Lim berkata lagi, kerajaan terpaksa mempercepatkan pelaksanaan SST dengan menepati tarikh akhir 1 September untuk mengelakkan risiko defisit perbelanjaan operasi berjumlah RM4 bilion.

Lim sebelum ini sudah memberi jaminan bahawa pengguna kad prabayar akan menerima nilai yang dibayar mereka, dan pengguna akan dibayar rebat bagi menggantikan jumlah yang dicukai.

"Cukai perkhidmatan enam peratus akan dikredit balik kerana mereka sudah set dalam sistem cukai perkhidmatan.

"Itu masalah teknikal yang tidak sepatutnya berlaku tetapi telah berlaku dan kita akan ‘rebate’ balik akhirnya pembeli akan dapat nilai yang sama. Jadi, janganlah terperangkap dengan pihak yang juga menghasut bahawa telah dapat kurang dari RM10. Ini tidak akan berlaku," katanya.

Lihat Komen
ADS