Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sultan Selangor sokong cadangan naikkan had umur kahwin

Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menzahirkan persetujuan baginda terhadap cadangan kerajaan Selangor meminda umur minimum umur bagi seseorang wanita berkahwin dinaikkan kepada 18 tahun.

Had umur minimum bagi seseorang perempuan berkahwin mengikut peraturan sedia ada ialah 16 tahun.

Titah Sultan Selangor pindaan tersebut harus dilakukan kerana baginda bimbang terhadap kesan perkahwinan bagi seseorang perempuan yang terlalu muda di kalangan masyarakat.

"Beta memandang serius kes-kes seperti ini kerana beta bimbang tentang risiko kemudaratan masa depan pasangan tersebut dan kesannya kepada masyarakat kelak.

“Beta berkenan dengan cadangan untuk menyelaraskan had umur minimum perkahwinan orang Islam lelaki dan perempuan di Selangor dengan menaikkan had minimum daripada 16 kepada 18 tahun,” titah baginda pada sesi pembukaan persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-14 di Shah Alam hari ini.

Ia adalah permulaan sidang bagi DUN Selangor untuk kali pertama sejak pilihan raya umum (PRU) berlangsung pada 9 Mei lalu.

Isu perkahwinan bawah umur menjadi perbincangan hangat baru-baru ini terutama selepas media melaporkan pernikahan satu pasangan di Kelantan.

Ia melibatkan seorang lelaki berusia 41 tahun dengan budak perempuan berusia 11 tahun. Budak terbabit ialah isteri ketiga lelaki berkenaan.

Menurut Sultan Sharafuddin Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menyemak semula undang-undang sedia ada dan membuat cadangan penambahbaikan jika perlu.

“Berikutan dengan itu MAIS dan JAIS telah menyembah maklumkan kepada beta cadangan pindaan terhadap peruntukan undang-undang yang sedia ada,” titahnya.

Titah baginda lagi, beberapa peruntukan lain juga perlu dipinda bagi menambah baik prosedur untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah syariah bagi perkahwinan di bawah umur.

“Antaranya dengan meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa dan pihak berkenaan, seperti mendapatkan rekod mental, jasmani, kesuburan, akhlak dan sosiologi serta pengakuan kerelaan pemohon bagi memastikan perkahwinan mereka ini tidak akan mendatangkan kemudaratan.

“Untuk tujuan itu beberapa peruntukan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) dan Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003 dicadangkan untuk dibuat pindaan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin berharap cadangan pindaan undang-undang tersebut dapat dibentangkan dalam persidangan kali ini.

DUN Selangor akan bersidang semula esok bagi membahaskan titah Sultan Selangor.

Lihat Komen
ADS