Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hampir 3,000 pemilih Seri Setia, Balakong mengundi pagi ini
Diterbitkan:  Sep 4, 2018 8:24 AM
Dikemaskini: 12:26 AM

Seramai 2,801 pengundi awal bagi pilihan raya kecil (PRK) Balakong dan Seri Setia mula mengundi mulai 8 pagi ini.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) 31 daripada pengundi terbabit adalah berdaftar untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong manakala 2,770 lagi bagi kawasan DUN Seri Setia.

Kesemua pengundi awal di DUN Balakong ialah anggota polis dan akan mengundi di ruang legar kuarters Balai Polis Seri Kembangan. Pusat pengundian awal itu dibuka 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Sementara itu di Seri Setia, 2,770 pengundi awal yang terlibat merangkumi 2,597 anggota tentera serta pasangan mereka dan 173 anggota polis.

Proses pengundian awal bagi anggota tentera serta pasangan akan diadakan di Dewan Serbaguna Ababil, Pangkalan Udara Subang manakala anggota polis pula akan menunaikan tanggungjawab mereka di Kompleks SMS Polis Diraja Malaysia, Shah Alam.

Pusat pengundian awal di Seri Setia dibuka mulai 8 pagi hingga 5 petang.

Selepas proses pengundian awal selesai, kertas-kertas undi akan disimpan di lokap balai polis dan hanya akan dikira secara berkelompok di pusat pengiraan undi masing-masing pada malam 8 Sept nanti.

Dua PRK ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong, dan Halimey Abu Bakar (HARAPAN) akan dicabar Dr Halimah Ali (PAS) di Seri Setia.

PRK Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala Seri Setia susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.

DUN Balakong dan DUN Seri Setia masing-masing mempunyai keseluruhan 62,219 dan 52,650 pengundi berdaftar.

- Bernama

Lihat Komen
ADS