Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes Guan Eng, Phang takkan berjaya lepas bukti dilemahkan
Diterbitkan:  Sep 4, 2018 3:24 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Berdepan kecaman pelbagai pihak, hari ini seorang pegawai kanan di Pejabat Peguam Negara (AGC) tampil menjelaskan mengapa mereka menarik balik pertuduhan ke atas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, dan seorang wanita ahli perniagaan.

Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan AGC, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, berkata keputusan untuk bertindak secara nolle prosequi (pihak pendakwa membuat keputusan untuk tidak meneruskan pendakwaan) ke atas Lim dan Phang dibuat tanpa penglibatan Peguam Negara Tommy Thomas.

Mohamad Hanafiah berkata beliau diberi tanggungjawab untuk membuat keputusan berhubung representasi yang dibuat oleh kedua-dua tertuduh.

Kata Mohamad Hanafiah pemilihan itu dibuat kerana beliau sebelum ini tidak pernah terlibat dengan kes tersebut dan dipercayai dapat memberi pertimbangan dari perspektif baru.

"Setelah diberi penugasan tersebut, saya meneliti keterangan-keterangan berdasarkan penyiasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan keterangan-keterangan dikemukakan saksi-saksi pendakwaan di mahkamah yang diuji dengan pemeriksaan balas.

"Saya membuat kesimpulan bahawa hasil pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap saksi-saksi pendakwaan, keterangan yang menyokong pertuduhan pertama di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan pertuduhan kedua mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan telah dilemahkan secara substantif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas membuat penelitian, Mohamad Hanafiah berpendapat, tidak mungkin beliau dapat memenuhi tanggungjawabnya sebagai timbalan pendakwa raya untuk meneruskan kes tersebut dengan mengetahui ia tidak akan berjaya pada akhir kes pendakwaan.

Sulit buat keputusan

Justeru beliau berkata pihaknya membuat keputusan supaya pihak pendakwaan nolle prosequi pertuduhan-pertuduhan terhadap Lim dan Phang berdasarkan Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut Mohamad Hanafiah ketetapan itu dimaklumkan kepada timbalan pendakwa raya yang menguruskan kes berkenaan, Datuk Masri Mohd Daud yang juga pengarah bahagian undang-undang SPRM pada jam 7.18 pagi semalam.

Katanya pihak pendakwa memohon mahkamah membenarkan perintah “pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan” ke atas Lim dan Phang namun hakim memutuskan kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan.

"Saya ingin menegaskan bahawa amalan untuk nolle prosequi bukanlah luar biasa.

"Perkara ini telah diamalkan dalam kes-kes lain apabila menerima representasi daripada pihak peguam dan setelah menemui keterangan baru, atau apabila keterangan menjadi lemah setelah diperiksa balas oleh pihak pembelaan.

"Berhubung kes terhadap Lim dan Phang, terdapat bukti baru yang tidak dipertimbangkan sebelum ini," katanya.

Menurut Mohamad Hanafiah keputusan untuk memulakan atau menamatkan pendakwaan merupakan kuasa dan budi bicara pendakwa raya.

Dalam kes berkenaan, beliau berkata, ia dirahsiakan sehingga ke saat akhir dan beliau tidak merujuk kepada agensi penyiasatan kerana bimbang keputusan tersebut terbocor sehingga menimbulkan gangguan tidak diingini.


Baca SPRM 'amat terkejut' mahkamah bebaskan Guan Eng


"Bahkan, keputusan saya ini terlalu sulit dan saya sendiri hanya memaklumkan kepada Peguam Negara pada jam 9.44 pagi semalam.

"Saya ingin menegaskan bahawa saya membuat keputusan berhubung representasi tersebut tanpa sebarang pengaruh luar.

"Malahan, terdapat satu firma guaman yang mewakili pengadu telah menghantar surat membantah sebarang cadangan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Lim dan Phang.

"Saya telah menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa saya akan memutuskan kes tersebut berdasarkan bukti yang sedia ada dan berlandaskan undang-undang, yang mana telah saya lakukan, tanpa sebarang pilih kasih," katanya.

Mohamad Hanafiah juga menjelaskan peguam negara sudah menarik diri daripada terlibat dalam semua perbincangan berkaitan kes berkenaan.

Katanya Thomas juga tidak terbabit membuat sebarang keputusan yang bakal dibuat Jabatan Peguam Negara, seperti yang pernah diumum pihak berkenaan pada 2 Ogos lalu.

Lihat Komen
ADS