Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam gesa mansuh hukuman sebat dalam undang-undang sivil, syariah
Diterbitkan:  Sep 4, 2018 5:12 PM
Dikemaskini: 9:28 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa hukuman sebat dalam undang-undang sivil dan syariah dimansuhkan.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menjatuhkan hukuman sebat ke atas dua wanita atas kesalahan melakukan hubungan sejenis.

"Suhakam menegaskan bahawa Deklarasi Universal Mengenai Hak Asasi Manusia, Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik dan Konvensyen Menentang Penyeksaan melarang penyeksaan dan bentuk-bentuk lain yang 'kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan atau menghukum' dan ini termasuk hukuman rotan.

"Suhakam menyeru pemansuhan hukuman sedemikian dalam semua undang-undang, baik sivil dan syariah bagi mematuhi piawaian antarabangsa," kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail.

Razali berkata keputusan Mahkamah TInggi Syariah Terengganu itu "bukan sahaja kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina" malah dilaksanakan secara terbuka di hadapan media.

Beliau berkata hukuman itu bertujuan untuk memalukan dan menjatuhkan reputasi wanita berkenaan serta keluarga mereka.

"Walaupun Suhakam menyedari undang-undang memperuntukkan hukuman rotan, pengadilan harus dijalankan melalui budi bicara kehakiman, sesuai dengan prinsip belas kasihan, ehsan dan menjaga martabat manusia dalam Islam.

"Suhakam tidak menerima bahawa pilihan untuk menjatuhkan hukuman bertujuan untuk mendidik kerana masyarakat bertamadun, berbudaya, progresif dan sederhana tidak akan menjadikan ketakutan atau penghinaan sebagai kaedah untuk mendidik," katanya.

Razali juga menegaskan Semakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) mendapati berlaku diskriminasi terhadap wanita Muslim dalam penafsiran undang-undang syariah di Malaysia.

Beliau berkata ini akan menyebabkan wanita Islam tidak dapat memajukan diri mereka setanding dengan wanita daripada agama lain, walaupun diberikan jaminan perlembagaan.

"Walaupun mendapat kritikan antarabangsa, kerajaan dan parlimen tidak mengambil sebarang langkah ketara untuk perubahan.

"Suhakam memberi amaran kepada kerajaan bahawa mengabaikan kewajipan hak asasi antarabangsa di Malaysia dan tidak menegakkannya tidak akan membawa kemajuan dan kejayaan," katanya.

Lihat Komen
ADS