Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kelantan bincang sebat pesalah syariah di masjid, stadium

Kerajaan negeri Kelantan dalam proses untuk mewartakan pindaan hukuman sebatan di khalayak umum bagi pesalah jenayah syariah, kata Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob.

Menurut beliau, perkara itu susulan dewan undangan negeri (DUN) meluluskan pindaan terhadap Enakmen Tatacara Jenayah Syariah pindaan 2017.

"Sehingga ini masih dalam perhatian untuk diwartakan, yang boleh menyebabkan kita rotan di khalayak ramai.

"Kita dalam cadangan dan perbincangan pertamanya dalam dewan tertutup, di dalam atau kawasan masjid dan stadium," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Hududullah 2018, di Kota Bharu, hari ini.

Tak libat sebatan pesalah lesbian

Bagaimanapun Ahmad berkata, enakmen itu tidak melibatkan sebatan terhadap pesalah lesbian.

Ini kerana katanya, Seksyen 15, Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 1985, seseorang perempuan yang sengaja melakukan musahakah dengan perempuan lain, boleh didenda tidak lebih RM500 atau penjara.

"Bagi pindaan enakmen tatacara jenayah syariah ini melibatkan kesalahan minum arak, mukadimah zina dan qazaf (tuduhan zina).

"Setakat ini tidak melibatkan kesalahan (seperti) musahakah.

"Tetapi untuk lain-lain kesalahan seperti minum arak dan mukadimah zina kita sudah laksanakan sejak tahun 1987 dan sehingga 2011 terdapat 13 kes melibatkan 10 pesalah," katanya.

Malaysiakini difahamkan kesalahan liwat turut termasuk dalam seksyen itu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu mengenakan hukuman masing-masing enam sebatan terhadap dua pesalah wanita berusia 22 dan 32 tahun setelah didapati bersalah cuba melakukan hubungan sejenis di dalam sebuah kereta, April lalu.

Hukuman itu adalah yang pertama kali berlaku di negara ini membabitkan kesalahan seumpamanya dan disaksikan oleh lebih 100 orang termasuk pengamal media, keluarga dan peguam syarie.

Sementara itu, Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan bilakah pelaksanaan hukuman sebatan di khalayak umum itu akan diwarta.

"Pewartaan masih dalam proses, mungkin kita perhatikan beberapa perkara di pelbagai peringkat dan peringkat Dewan Negara," katanya.

Lihat Komen
ADS