Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gaji minimum seragam RM1,050 berkuat kuasa 1 Jan 2019
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 7:09 PM
Dikemaskini: 11:52 AM

Kerajaan buat pertama kalinya bersetuju untuk melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam bagi seluruh negara iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Jan 2019.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu dibuat selepas menimbang syor-syor yang diberikan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) hasil kajian semula terhadap Perintah Gaji Minimum 2016.

Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji minimum sebanyak RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kerajaan juga memutuskan untuk tidak memberikan sebarang subsidi kepada mana-mana majikan kerana kekangan kewangan semasa negara," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan peningkatan gaji minimum berkenaan adalah selaras dengan situasi ekonomi semasa negara.

“Kita harus waspada bahawa sebarang peningkatan gaji yang drastik bakal menimbulkan masalah lain kepada industri yang juga boleh menggugat daya saing negara," jelas kenyataan itu.

Sehubungan itu, adalah lebih wajar jika gaji minimum dinaikkan secara berkala dalam tahun-tahun akan datang supaya industri, terutamanya majikan kecil, tidak menutup perniagaan mereka akibat kos operasi yang tinggi yang bakal menyebabkan pemberhentian pekerja.

“Majikan dan peniaga juga diseru supaya tidak menaikkan harga barangan dan perkhidmatan susulan kenaikan gaji minimum ini dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dimohon untuk memantau perkara tersebut," menurut kenyataan itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS