Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Kita semua mementingkan hak kita sebagai individu. Ini tidak salah. Memang kita digalakkan dan dibolehkan untuk mempertahankan hak kita.

Dalam perlembagaan negara pun hak individu dijamin. Jadi tidak salah kalau individu menuntut hak untuk dirinya dan kumpulannya.

Tetapi apabila hak individu atau minoriti bercanggah dengan hak masyarakat maka timbullah persoalan: Yang mana lebih utama, hak individu atau hak masyarakat?

Pada pandangan saya, kalau hak individu itu hak fundamental seperti soal makan, pakai, pelajaran, kesihatan dan beragama maka memanglah hak individu itu penting dan wajib dipertahankan. Kita bolehlah anggap semua hak yang disebutkan itu sebagai hak hidup mati.

Itulah sebabnya orang yang disyaki membunuh atau mencuri berbilion ringgit sekali pun diberi hak mempertahankan diri di mahkamah.

Bagaimanapun, yang nampaknya dihebohkan oleh masyarakat kita sekarang adalah mengenai hak individu yang berbentuk "rahsia dan persendirian".

Antara hak individu yang berbentuk "rahsia dan persendirian" yang hebat diperkatakan adalah hak dan kegiatan golongan yang disebut sebagai LGBT.

LGBT adalah singkatan bahasa Inggeris bagi Lesbian, Gay, Bi-sexual dan Transgender yang dipopularkan di Barat sekitar tahun 1990-an.

Dalam bahasa Melayu tidak ada singkatan serupa. Tapi maksudnya lebih kurang begini: Perempuan berahikan perempuan (lesbian), lelaki berahikan lelaki (gay), lelaki atau perempuan berahikan kedua-dua jantina (bi-sexual) dan lelaki berperwatakan perempuan manakala perempuan berperwatakan lelaki (transgender).

Dari segi jantina tidak ada pertikaian mengenai orang yang terlibat dalam kegiatan LGBT ini, iaitu mereka sama ada lelaki atau perempuan. Tidak ada gender ketiga.

Dua hari lalu beberapa orang kami dalam pasukan media Tun Dr Mahathir Mohamad berbual dengan beliau mengenai hal ini kerana kita semua bimbang dengan arah tuju isu itu.

Yang terbaru, sepasang wanita Melayu berusia 32 dan 22 tahun disebat di hadapan kira-kira 100 orang penonton di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu setelah didapati bersalah “cuba melakukan perhubungan” seks di dalam kereta di tempat awam di Dungun pada kira-kira jam 1.50 petang 8 April lalu.

Kepada yang belum baca berita ini, cubalah baca dan buat penilaian sendiri tentang patut atau tidak patut kejadian dan perbuatan ini.

Dulu lain

Kita bercakap tentang bagaimana dahulu pun ada kegiatan seperti ini, tetapi tidak dihebahkan atau diperbesarkan apatah lagi pengamalnya menuntut hak agar diberi keistimewaan dan pengiktirafan.

Walaupun perbezaan usia saya dan Dr Mahathir lebih 20 tahun namun kami melalui pengalaman yang sama sepanjang mengenai hal-hal berkaitan LGBT ini. Cuma waktu itu tidak disebut LGBT.

Di utara kita guna istilah seperti pondan, darai, ponen, lembut dan seumpamanya. Kita tidak memandang rendah atau memuja orang yang berkecenderungan seperti itu.

Mereka tidak menuntut hak dan keistimewaan sepertimana berlaku sekarang. Dan pastinya mereka tidak melakukan hubungan sesama jenis di khalayak ramai.

Bagi penduduk utara Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis ketika itu mereka amat biasa dengan kumpulan muzik “ghazal party” yang menghidangkan lagu-lagu Arab dengan iringan tarian gelek.

Yang mempersembahkan tarian gelek ini adalah lelaki lembut berpakaian wanita. Bagaimanapun, mereka ini akhirnya, sama ada secara paksaan atau sukarela, kembali menjadi lelaki dan berumah tangga.

Ghazal Party paling hebat waktu itu ialah Ajinda Ghazal Party dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

Hari ini, yang merumitkan keadaan kita bukan sahaja pengamal LGBT menuntut pengiktirafan dan kebebasan bahkan disokong pula oleh orang yang bukan daripada golongan itu kononnya kerana menghormati hak asasi manusia.

Di negara Barat, perkara ini sudah menjadi biasa sehingga pemimpin politik yang terlibat dengan LGBT pun mempamerkan kecenderungan mereka secara terbuka. Malah ada beberapa buah negara yang pemimpin politiknya berkahwin sejenis.

Namun di negara kita yang pelbagai kaum dan Islam adalah agama persekutuan, kita tidaklah boleh meniru bulat-bulat apa yang dilakukan di Barat.

Cuma disebabkan semua orang mengaku mereka ada hak maka terpulanglah kepada mereka memilih jalan mana yang mereka mahu untuk menghalalkan kegiatan mereka.

Macam mana pun mereka tetap tertakluk kepada undang-undang dan adat resam masyarakat iaitu apabila hak individu bertembung dengan hak masyarakat tentulah hak masyarakat lebih utama.

Khusus kepada orang Islam, saya harap mereka janganlah menjadikan isu LGBT ini sebagai satu lagi perkara yang akan menambah buruk imej Islam dan pentadbiran yang diterajui oleh orang Melayu.

Semua orang Islam tahu bahawa Allah SWT hanya mengizinkan perhubungan sah di antara lelaki dan perempuan.

Ibu bapa, ahli keluarga, guru, anggota dan pemimpin masyarakat, pihak berkuasa agama dan kesihatan semuanya mempunyai tanggung jawab membendung amalan ini.


DATUK A KADIR JASIN adalah Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri. Beliau adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd dan kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS