Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
UIA: Maszlee calon 'ideal' sebagai presiden
Diterbitkan:  Sep 5, 2018 9:03 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyifatkan Menteri Pendidikan sebagai calon "ideal" untuk menjadi presiden universiti itu.

Dalam kenyataan hari ini, pejabat komunikasi korporat UIA berkata ini kerana beliau merupakan bekas pensyarah UIAM dan amat berpengalaman dengan persekitaran universiti itu, justeru mampu mengangkat lagi kedudukannya.

"Ketua Perlembagaan UIAM Sultan Haji Ahmad Shah telah memberi perkenan atas pelantikan Maszlee sebagai presiden ketujuh UIAM selama tiga tahun.

"Pengurusan UIAM berpendirian beliau merupakan calon yang ideal kerana bekas pensyarah UIAM...dan pernah mengetuai Persatuan Staf Akademik UIAM dalam memperjuangkan hak dan menjamin kebajikan pensyarah," kata kenyataan itu.

Di sebalik jadual ketat sebagai menteri pendidikan, kata UIAM lagi, Maszlee menyatakan kesediannya untuk menerima tanggungjawab itu tanpa sebarang bayaran.

"UIAM amat beruntung mendapat menteri pendidikan sebagai presidennya kerana struktur pentadbiran kami berbeza berbanding universiti lain di Malaysia dan memerlukan pucuk pimpinan yang mampu memahami kedudukan UIAM untuk meletakkannya di persada dunia," katanya sambil menambah pelantikan itu turut disokong Rektor Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

UIAM turut menyatakan penghargaan kepada Tan Sri Rais Yatim atas sumbangan sepanjang menjadi presiden universiti itu.

Semalam, Persatuan Staf Akademik UIAM menerusi laman Facebooknya mengucapkan tahniah kepada Maszlee.

Bagaimanapun pelantikan itu mengundang kritikan daripada ahli politik pembangkang dan juga Pakatan Harapan.

ADUN Kampung Tunku Lim Yi Wei menggesa Maszlee melepaskan jawatan itu kerana ia "konflik kepentingan yang jelas".

"Sama ada peranan presiden adalah eksekutif atau bukan eksekutif adalah tidak penting. Kita tidak seharusnya melanggar manifesto kita dengan menggunakan loopholes," katanya.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican juga meminta Maszlee mempertimbang semula perkara itu, apatah lagi tanggungjawab yang dipikulnya sudah begitu besar.

Dilantik Sultan

Sementara itu, The Star memetik Setiausaha Politk Maszlee, Wan Saiful Wan Jan berkata pelantikan tersebut boleh diterima kerana ia dibuat Sultan Ahmad.

Ia menunjukkan kebijaksanaan Sultan dalam mebuat pilihan dalam memilih seseorang yang benar-benar memahami universiti, katanya seperti dipetik.

Dalam manifesto PRU ke-14, HARAPAN berjanji akan mengembalikan kebebasan akademik di institut pengajian tinggi.

Maszlee sendiri dalam wawancara sebaik menjadi menteri pendidikan berikrar untuk tidak "menyalahgunakan universiti untuk kepentingan politik", selain menjanjikan autonomi penuh dan kebebasan akademik.

Lihat Komen
ADS