Paling Popular
Terkini
story images
story images

WAWANCARA | Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kini berdepan tugas cukup berat iaitu mengemudi Pergerakan Umno di era parti itu tidak lagi di tampuk kuasa.

Beliau sendiri pada mulanya merasakan cukup sulit untuk melakukannya, tetapi kemudian menyedari keadaan itu membawa hikmah tersendiri.

Hikmah itu, menurutnya, ialah tiada lagi perebutan kuasa, jawatan dan kontrak yang menjadi faktor rakyat serta akar umbi sendiri menolak parti Melayu itu.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu, Asyraf berkata beliau kini bertekad menyusun semula gerakan pemuda bagi menyiapkan diri sebagai pembangkang.

"Apabila kita jatuh, tiada lagi kuasa yang boleh menjadi punca untuk ahli bersengketa, tiada lagi projek yang membawa perbalahan dalaman, tak ada jawatan yang menyebabkan persaingan sengit yang melumpuhkan jentera dan semua peringkat parti.

"Dulu saya ingat sukar jadi ketua pemuda sebab perlu sediakan insentif kepada ahli untuk mereka berbuat sesuatu, seperti nak pasang bendera, sertai konvoi dan datang program.

"Tetapi kini mereka (akar umbi) mula sedar bahawa ia perlu diubah," katanya yang dahulu menjadi timbalan menteri di jabatan perdana menteri.

Asyraf sendiri kini tiada apa-apa jawatan - melainkan ketua pemuda - selepas tewas di kerusi Parlimen Pasir Puteh kepada calon PAS Nik Zawawi Salleh dengan perbezaan 1,306 undi.

Tiga bulan selepas kekalahan itu, katanya, beliau merasakan perlu untuk mendidik anggota Umno untuk tidak lagi menjadi "pekerja" parti - yang mendapat imbuhan - sebaliknya sebagai pejuang.

Beliau berkata kini tiada lagi program di hotel mewah - kini rumah ketua bahagian menjadi lokasi utama - serta wang saku dan duit minyak untuk ke program parti.

Ini bagi menerapkan nilai kesukarelawanan dalam diri anggota, katanya lagi, sambil mengaku ia tugas sukar dan menjadi sebab beliau menawarkan diri untuk mengemudi sayap pemuda.

Pada pemilihan Umno Jun lalu, Asyraf memenangi jawatan ketua pemuda bagi penggal 2018-2021 selepas memperolehi 75 undi berbanding pesaing terdekatnya Datuk Mohd Shahar Abdullah dengan 59 undi.

Dua lagi calon adalah Khairul Azwan Harun (56 undi) dan Datuk Seri Jamal Md Yunos (2 undi).

Ketua sebelumnya Khairy Jamaluddin. Sepanjang memegang jawatan itu, Khairy sangat menonjol sebagai pemimpin nasional, ditambah dengan kedudukannya sebagai menteri kabinet.

Bukan 'Dr Asyraf' seorang saja

Ketika ditanya tentang dirinya yang dilihat kurang menyerlah, Asyraf berkata masih terlalu awal untuk menilai pencapaiannya.

Asyraf berkata, situasi mereka berdua berbeza - Khairy memegangnya selama dua penggal dan ketika Umno menjadi kerajaan.

"Tambahan pula saya baru tiga bulan sebagai pemuda.

"Fokus saya bukan populariti, saya tak mahu 'lahirkan' seorang Dr Asyraf tetapi ratusan atau ribuan pemimpin pemuda yang wibawanya tidak dipersoal masyarakat," katanya yang dulu pernah menjadi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Namun beliau berkata dalam tempoh tiga bulan sudah dapat dilihat perbezaan pemuda dulu dan kini - bukan ketua seorang yang menonjol tetapi pemimpin di bawahnya.

"Saya buat budaya baru iaitu minta barisan exco dan ketua di negeri untuk bersuara. Jika anda perasan, hampir setiap hari dan minggu pemimpin pemuda di pelbagai peringkat mengeluarkan kenyataan dan anjur program.

"Dulu kita lihat kenyataan pemuda dari ketuanya saja, kali ini tidak," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS