Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Syed Saddiq bantah arahan padam tulisan Cina
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 1:02 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membantah arahan supaya papan tanda tulisan Cina milik beberapa peruncit tempatan di bandar Muar dipadam.

Ini susulan laporan berita bahawa pemilik kedai diarahkan Majlis Perbandaran Muar untuk memadam tulisan besar nama kedai dalam bahasa Cina.

Pihak berkuasa tempatan dilapor memberi alasan tulisannya lebih besar daripada bahasa Melayu.

"Secara tegas saya bantah pelupusan papan tanda bertulisan bahasa Mandarin (Cina) secara paksa.

"Keindahan Muar adalah kepelbagaiannya dan kita harus melindungi semua itu.

"Tulisan Mandarin itu adalah sejarah kehidupan di Muar, yang wujud di situ sejak lebih setengah abad," kata Syed Saddiq, yang juga adalah ahli parlimen Muar dalam satu kenyataan media, hari ini.

Akhbar Cina, Sin Chew Daily, semalam melaporkan bahawa anggota majlis perbandaran itu melawat beberapa kedai pada Selasa lalu dan mengarahkan pemilik supaya menurunkan tulisan Cina di papan tanda mereka.

Pemilik kedai berkenaan, yang menjalankan perniagaan di sana selama beberapa dekad, dilaporkan tidak berpuas hati dengan arahan itu.

Menurut laporan itu, anggota penguatkuasa memaklumkan bahawa papan tanda itu melanggar undang-undang pengiklanan tempatan.

Pemilik kedai diberi amaran bahawa mereka boleh didenda maksimum RM2,000 atau hukuman penjara selama dua tahun, atau kedua-duanya.

Denda sebanyak RM200 bagi setiap hari pelanggaran juga boleh dikenakan.

Tiada diskriminasi

Dalam perkembangan berkaitan, exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi Johor, Tan Hong Pin dilaporkan berkata notis terhadap pemilik premis yang tidak menjelaskan bayaran papan iklan termasuk yang berusia lebih setengah abad tiada unsur diskriminasi atau bersifat perkauman.

Katanya, Majlis Perbandaran Muar hanya menguatkuasakan peruntukan undang-undang yang ada tanpa sebarang niat jahat.

Portal Utusan Malaysia memetiknya sebagai berkata, perkara berkenaan adalah melibatkan premis-premis yang memaparkan papan iklan lebih daripada satu termasuk di tiang dan sebagainya tetapi hanya membuat bayaran bagi satu papan iklan.

“Namun, kerajaan negeri juga mengambil kira trend tulisan berbentuk iklan yang dipapar di tiang premis yang mempunyai warisan sejarah kerana wujud sejak lebih setengah abad dahulu.

“Jadi, mungkin ada sedikit kekeliruan dalam hal ini tetapi dari segi undang-undang tiang iklan itu juga perlu dilesenkan seperti yang lain. Kita akan selesaikan perkara ini dengan segera,” katanya yang dipetik oleh portal itu ketika melawat papan-papan iklan premis di Bandar Maharani.

Beliau diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Maharani, Nor Hayati Bachok dan Yang Dipertua MPM, Mustaffa Kamal Shamsudin.

 

Lihat Komen
ADS