Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kritikan KJ mengenai hukum sebat pendapat peribadi - Ismail Sabri

Teguran yang dibuat bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin berhubung pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai di Terengganu baru-baru ini hanya pandangan peribadi beliau.

Naib Pengerusi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kenyataan Khairy itu tidak mewakili pandangan Umno memandangkan ia dibuat tanpa membabitkan keputusan majlis tertinggi parti itu

"Kalau pandangan parti mesti diputuskan oleh mesyuarat majlis tertinggi sekurang-kurangnya mesyuarat pengurusan Umno.

"Jadi sesiapa yang beri pandangan selain daripada keputusan daripada majlis tertinggi dan juga pengurusan Umno, itu adalah pandangan peribadi," katanya dalam sidang media di Bilik Operasi Induk PRK Seri Setia di Shah Alam, hari ini.

Ismail berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kritikan Khairy terhadap hukuman sebat terhadap dua wanita lesbian.

Menurut Khairy terdapat cara lain bagi menyelesaikan isu mengena lesbian, gay, biseksual dan transgender.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau itu turut berkata walaupun termaktub dalam undang-undang, sebatan di khalayk ramai tidak wajar dilaksanakan.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman sebat sebanyak enam kali terhadap dua wanita berkenaan kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun, 1.50 tengah hari pada 8 April lalu.

Hukuman tersebut bagaimanapun mendapat perhatian dan kritikan banyak pihak kerana dilakukan secara terbuka.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail ketika awal prosiding berkata hukuman itu adalah berbentuk pengajaran dan bukannya untuk mencederakan.

Selain itu kedua-duanya turut didenda RM3,300 atau empat bulan penjara, jika gagal menjelaskan denda.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 30 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang dibaca bersama Seksyen 59 (1) enakmen yang sama kerana musahaqah.

Kedua-dua tertuduh diberi peluang untuk membuat rayuan ke atas hukuman sebat itu dalam tempoh 14 hari namun tidak berbuat demikian sehinggalah tempoh tamat.

Lihat Komen
ADS