Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Forest City: Kuota pemilikan warga asing mungkin dikurangkan
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 6:23 PM
Dikemaskini: 10:27 AM

Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengurangkan kuota pemilikan warga asing dalam projek Forest City, Johor agar lebih ramai rakyat tempatan memiliki hartanah dan menikmati pembangunan lestari, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata antara isu yang menjadi perhatian kementerian ialah polisi kerajaan negeri Johor yang membenarkan sehingga 70 peratus pemilikan hartanah oleh warga asing di Forest City yang bernilai AS$100 bilion (RM413.77 bilion).

“Ini merupakan isu yang perlu kita buat kajian semula bagi menentu penglibatan dan faedah kepada rakyat tempatan tidak terpinggir.

“Kita mahu bangsa Johor menikmati pembangunan yang canggih, menggunakan konsep bandar lestari dan hijau.

“… ia harus menuju ke arah pengurangan (kuota pemilikan asing),” katanya kepada pemberita apabila diminta mengulas kemungkinan pemilikan warga asing di Forest City dikurangkan.

Sebelum itu, Zuraida menghadiri Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan Ke-72 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Zuraida berkata beliau telah mengadakan pertemuan dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Isnin lalu berhubung projek tersebut.

“Saya telah memberi laporan awal kepada kabinet semalam.

“Saya akan mengadakan pertemuan bagi penemuan fakta dengan kerajaan negeri Johor dan pemaju projek petang ini. Saya akan beri laporan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kabinet bagi mencari jalan terbaik untuk mengatasi isu-isu berbangkit,” katanya.

Zuraida menambah bahawa beliau mahu mengadakan pertemuan dengan para pemaju tempatan berhubung pemilikan hartanah bagi warga asing.

Sementara itu, Zuraida menafikan dakwaan pemberian visa kepada warga asing yang membeli hartanah di Forest City.

“Adalah sesuatu yang karut beli rumah dapat visa.Tidak ada polisi seperti itu”.

Sementara itu, Zuraida berkata KPKT mencadangkan agar setiap hotel bertaraf tiga bintang ke atas menggunakan teknologi biodigester untuk memastikan sisa pepejal diuruskan dengan cara yang lebih mesra alam dan sistematik.

“KPKT akan berbincang dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memastikan penggunaan teknologi biodigester di setiap hotel bertaraf tiga bintang ke atas ini akan diletakkan di dalam syarat kelulusan lesen.

“Ini akan dikuatkuasakan pada tahun 2019. Pengusaha hotel mempunyai tiga bulan untuk membuat persediaan… tidak dapat dinafikan, terdapat hotel-hotel sudah melaksanakan inisiatif ini,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata KPKT sedang menyediakan draf Garis Panduan Pasar Malam/Harian Sejahtera bagi menyeragamkan pengurusan pasar malam atau pasar sehari di seluruh Malaysia.

Beliau berkata KPKT memandang berat tahap kebersihan di pusat-pusat penjaja, pasar malam dan pasar sehari di seluruh negara.

“PBT perlu mengikut tatacara yang telah digariskan oleh undang-undang tersebut bagi memastikan para peniaga tidak mengotorkan kawasan.

“Tindakan yang boleh diambil oleh PBT adalah mengkompaun, menggantung, menarik balik atau membatalkan lesen pernigaan bagi peniaga yang tidak menjaga kebersihan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS