Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS seru k'jaan benarkan negeri laksana hukum syarak
Diterbitkan:  Sep 6, 2018 6:45 PM
Dikemaskini: 10:53 AM

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyeru kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memberikan peluang negeri-negeri melaksanakan hukum syarak.

"PAS menyeru kerajaan HARAPAN memberikan kesempatan kepada negeri-negeri melaksanakan hukum syarak yang berada di bawah bidang kuasa negeri, bukan mempertikaikannya.

"PAS melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kabinet berhubung kes rotan yang dijalankan oleh mahkamah Tinggi Syariah di negeri Terengganu.

"Kenyataan kabinet jelas mempertikaikan bidang kuasa mahkamah syariah negeri yang berada diluar bidang kuasa kerajaaan pusat," katanya dalam suatu kenyataan hari ini yang mengulas isu sebatan terhadap dua pasangan lesbian di Terengganu.

Anggota parlimen Kubang Kerian juga berkata hukuman sebat syariah jauh lebih ringan daripada hukuman rotan mahkamah sivil.

"Apakah melaksanakan hukum yang diperintah oleh Allah boleh dianggap zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan?

"... hukuman tersebut jauh lebih ringan dari sebatan dalam penjara, yang juga ternyata gagal mencegah jenayah berbanding hukuman syarak yang mahu mencegah jenayah dalam masyarakat," katanya.

Kehadiran orang awam

Terdahulu hari ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata beliau tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukuman sebatan di khalayak ramai seperti di Terengganu awal minggu ini.

“Sama ada ia patut dilakukan di khalayak ramai atau tidak, secara peribadinya saya tidak setuju,” katanya yang turut memaklumkan perkara berkaitan mahkamah syariah terletak bawah bidang kuasa negeri, bukan kementeriannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada 3 September lalu berkata pihaknya mengambil pendirian bahawa hukuman sebat ke atas dua pesalah syariah di Terengganu berkenaan dijalankan mengikut proses undang-undang negeri.

Katanya, pihaknya turut mengikut perkembangan kes tersebut dan difahamkan hukuman dijatuhkan mengikut kaedah Islam.

Bagaimanapun beliau berkata aspek kehadiran orang awam sewaktu proses sebatan perlu dilihat semula.

Lihat Komen
ADS