Wawancara Malaysiakini

BERSATU tetap berhati-hati terima ahli Umno

Al-Abror Mohd Yusuf  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA | Bermula daripada kekecewaan terhadap pemimpin Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) lahir untuk menghadapi dominasi BN menjelang pilihan raya umum (PRU) yang dirahsiakan ketika itu.

Setakat ini pelaksanaan PRU di negara ini memang begitulah. Hampir tidak ada sesiapa yang benar-benar tahu kecuali seorang dua. Dan kemudian, tuhan.

Kehadiran BERSATU dalam gelanggang politik negara dipandang sinis - jika pun tidak prejudis. Hayatnya diramal tidak akan ke mana.

Namun hari ini BERSATU akan meraikan sambutan tahun kedua penubuhannya. Dan lebih menarik parti muda itu kini menyambutnya dengan penuh bangga sebagai sebahagian daripada kerajaan baru Malaysia.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada umumnya parti itu tidak lagi boleh dianggap berumur setahun jagung.

"Kalau nak disebutkan, lebih sedikit daripada setahun jagung. Sekarang dah dua tahun jagunglah," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Muhyiddin ditemui dalam sesi wawancara bersama antara Malaysiakini dan Sinar Harian di rumah beliau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Pencapaian luar biasa

BERSATU mengadakan majlis sambutan tahun kedua penubuhan parti itu malam ini.

Kata Muhyiddin ketika beliau menubuhkan BERSATU dulu tidak ramai orang yang menjadi anggota parti, malah ada sebahagian daripada mereka tidak begitu faham hal-hal politik.

Malah katanya sebahagian yang lain tidak pernah pun menyertai kegiatan politik, namun mereka menyertai BERSATU kerana mahu memberikan sokongan kepada pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad, selain Muhyiddin sendiri serta tokoh-tokoh lain.

"Alhamdulillah BERSATU bersatu akan meraikan sambutan tahun keduanya dan ini merupakan detik bersejarah.

"Dalam tempoh begitu singkat, boleh saya katakan kita (BERSATU) telah mencapai kejayaan amat besar, iaitu bukan setakat membina parti dengan dasar perjuangan yang jelas untuk kemakmuran negara malah membentuk kerajaan dengan kerjasama gabungan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

"Saya kira, kalau berdasarkan jangka hayat BERSATU baru dua tahun itu, apa yang kami perolehi hari ini adalah pencapaian luar biasa," katanya.

Namun beliau cepat mengingatkan, dalam keadaan begitu pun semua pihak tidak boleh leka.

"Masih banyak perkara belum dapat kita laksanakan," katanya.

Ditanya mengenai posisi BERSATU sebagai parti yang mendapat sokongan Melayu dan bumiputera, Muhyiddin menegaskan terbukti pertubuhan berkenaan tidak bersifat rasis.

Malah kata Muhyiddin ia juga diterima ramai anggota Umno sendiri yang kini menyertai BERSATU.

Enggan buruk sangka

Namun dengan perkembangan begitu jugalah ada kebimbangan masalah dalaman Umno akan dibawa meresapi BERSATU.

Kata Muhyiddin anggota Umno sedar parti itu sudah gagal dan mengkhianati umat Melayu Islam. Justeru, katanya, mereka - bukan saja anggota biasa, malah pemimpin parti - tampil menyertai BERSATU.

"Namun kita perlu berhati-hati kerana tidak mahu disalah anggap (oleh pihak lain) apabila menerima dengan mudah anggota parti yang kita tentang bersama-sama.

"BERSATU faham sangat sentimen itu," katanya.

Menurut anggota parlimen Pagoh itu, BERSATU memantau perkembangan berkenaan dari semasa ke semasa dan sebahagian daripada anggota Umno yang menyertai parti baru terbabit menampakkan keikhlasan.

"Mungkin mereka rasa kecewa dengan kepimpinan Umno dan enggan menerimanya lagi. Kemudian mereka lihat kepimpinan baru dalam BERSATU ini boleh meneruskan perjuangan yang gagal dilakukan Umno.

"Apa yang penting kita tak mahu berburuk sangka.

"Kalau mereka betul-betul ikhlas mahu bersama dengan kita dan tak membawa budaya yang kita tahu ditolak rakyat, maka kita bersedia mempertimbang mereka menyertai kita," katanya.


  • Wawancara ini turut dijayakan oleh Norman Goh, Hariz Mohd, Grace Aisyah dan wakil Sinar Harian