Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

WAWANCARA | Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad yakin parti itu mampu melahirkan pengganti yang mampu menggalas tugas selepas beliau tiada lagi.

"Kami harap orang-orang berbakat akan muncul. Mereka mungkin muncul tak lama lagi dan kami menggalakkan mereka yang berbakat untuk jadi pemimpin.

"Dalam BERSATU ada ramai orang muda yang menunjukkan kebolehan yang besar," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini dan Sinar Harian Khamis lalu.

Mahathir, 93, berkata demikian ketika ditanya jika ada pelan peralihan untuk menggantinya dalam parti itu.

Diminta mengulas lanjut berhubung anggota muda yang dilihat mempunyai potensi sebagai pemimpin, beliau menamakan Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Mohd Rafiq Naizamohideen sebagai contoh.

Perdana menteri itu dijangka menyerahkan jawatan itu kepada bakal Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa beberapa tahun.

Bagaimanapun tidak pasti sama ada beliu kekal menjadi pengerusi BERSATU apabila peralihan itu berlaku.

Dalam pada itu, Mahathir berkata beliau bukan lagi orang yang sama berbanding ketika kali pertama menjadi perdana menteri.

"Saya sudah berubah. Saya sedar pada masa lalu saya ada kawalan sepenuhnya, adakala saya boleh buat keputusan secara sepihak. Ada orang panggil saya diktator.

"Tetapi sekarang saya sedar parti kami bukan yang dominan - Saya perlu ambil kira pandangan lima parti.

"Jadi sokongan ke atas saya bergantung kepada sebaik mana cadangan saya, saya tak boleh bertindak berdasarkan pendirian sendiri," katanya lagi.

Katanya, ia berlaku dalam kabinet dan juga dalam partinya sendiri, di mana mesyuarat pimpinan boleh berlanjutan beberapa jam kerana perbahasan sesuatu isu.

Berbeza dengan keadaan itu, katanya lagi, Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih mengekalkan cara lama.

"Dia masish fikir boleh dapat kuasa dengan memainkan isu perkauman. Sekarang anda tak boleh menang dengan isu perkauman," katanya ketika diminta mengulas pencapaian Zahid memimpin parti lamanya setakat ini.


Wawancara ini dijayakan bersama oleh Haris Mohd, Lu Wei Hoong, Norman Goh, Zikri Kamarulzaman dan Sinar Harian.
 

Lihat Komen
ADS