Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRK SERI SETIA | Kemenangan Halimey Abu Bakar dalam pilihan raya kecil semalam memberi isyarat jelas bahawa kubu kuat Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor khususnya di DUN itu masih belum mampu ditembusi pembangkang.

Meskipun calon PAS Dr Halimah Ali bersungguh-sungguh meyakinkan pengundi supaya memilih beliau sebagai pelaksana ‘check and balance’ kepada kerajaan, namun pengundi memberi isyarat bahawa kerajaan perlu terus diberi ruang untuk bekerja tanpa gangguan.

Malah, isu-isu nasional yang dimainkan oleh bekas anggota exco kerajaan Selangor itu - seperti kegagalan 100 hari kerajaan memenuhi semua janji, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) - juga gagal mempengaruhi pengundi.

Menurut Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Mujibu Abd Muis, PAS seharusnya belajar daripada kegagalan pembangkang memainkan isu sama ketika pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis baru-baru ini.

“Kita tengok selepas 100 hari (kerajaan HARAPAN memerintah) memang terdapat kesedaran kepada rakyat bahawa HARAPAN tidak boleh deliver dalam tempoh 100 hari, namun kena ingat dalam konteks itu ramai juga berpendapat rakyat mempunyai tahap kepuasan tinggi dengan prestasi kerajaan.

“Mereka berpendapat mungkin (kerajaan) boleh dimaafkan, sebab itu apabila dibawa isu-isu ini ke sini (Seri Setia) itu (kemenangan) tidak berlaku juga.

"Maka saya berpendapat jika berlaku lagi PRK akan datang, pembangkang kena ada pendekataan dan platform naratif yang baru untuk mengimbangi persiapan mengurangkan undi atau mungkin kalahkan HARAPAN,” katanya kepada Bernama.

Faktor tempoh berkempen

Keputusan PRK Seri Setia menyaksikan Halimey yang merupakan bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menewaskan Dr Halimah dengan majoriti 4,027 undi.

Halimey memperoleh 13,725 undi sementara Dr Halimah memperoleh 9,698 undi.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi terbabit Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas dan ia merupakan PRK kedua diadakan di Selangor selepas PRU14.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian turut senada dengan Mujibu bahawa isu-isu yang dimainkan oleh calon PAS tidak memberi impak kepada calon HARAPAN.

“APabila ada isu besar pengundi akan keluar (mengundi) tidak kira cuti atau cuaca buruk tetapi pada PRK ini ia seolah-olah tidak jadi isu besar pada pengundi.

"Mungkin bagi pengundi mereka masih beri peluang kepada HARAPAN kerana matlamat mereka nak jatuhkan BN dah tercapai,” katanya.

Mengenai peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu 44.1 peratus, Sivamurugan berpendapat selain faktor cuti panjang, tempoh kempen lama iaitu 21 hari turut memberi kesan kepada pengundi.

“Kempen terlalu panjang, mungkin SPR perlu kaji semula kerana saya lihat kesannya, apabila jentera calon jadi hambar sehingga tidak mampu menarik pengundi keluar mengundi.

"Selain itu, trend hampir sama juga berlaku sama seperti PRK Sungai Kandis apabila kerjasama PAS-Umno gagal menarik pengundi di Seri Setia.

“Adakah di Seri Setia pengundi tegar Umno tidak keluar untuk menyokong calon PAS?

"Jadi ini merupakan uji kaji kedua kerjasama kedua-dua parti itu selepas Sungai Kandis, mungkin kedua-dua pihak (PAS-Umno) perlu teliti semula di mana silapnya.

“Namun bagi Halimey meskipun majoriti diperoleh rendah berbanding ketika PRU14, ia satu keputusan yang baik untuk beliau kerana peratusan keluar mengundi yang sangat rendah,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS