Paling Popular
Terkini

PULASAN | Tiada lagi perkataan yang lebih tepat untuk diajukan kepada PAS dan Umno selepas berakhirnya pilihan raya kecil Seri Setia - serta Balakong - kecuali tahniah.

Satu demi satu dalil muncul dengan terang-benderang di depan mata menunjukkan kedua-dua parti tersebut kian diterima ramai sejak tidak lagi berselindung untuk menampakkan keserasian masing-masing.

Memang PAS - dan tentulah Umno yang ada di belakang mereka - gagal merampas kerusi Seri Setia daripada Pakatan Harapan (HARAPAN). Majoriti daripada 44 peratus pengundi - atau 23,423 pemilih - semalam masih mahu HARAPAN kekal mewakili mereka di sana.

Rentak senada PAS dan Umno sudah bermula sejak lama, namun seperti fitrah kemunculan bulan mengambang, ia melalui fasa yang berdikit-dikit. Tentulah antara lain ia supaya tidak berlaku kejutan, sama ada kejutan budaya atau yang lain-lain.

Daripada terpaksa melihat menggunakan teropong bagi menyaksikan anak bulan, kerjasama itu beransur cerah membawa cahaya dari semasa ke semasa.

Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis menjadi detik penting untuk kedua-dua parti keluar daripada fasa malu-malu kepada tahap mahu-mahu.

Kemudian datanglah PRK Seri Setia. Dan kedua-dua parti tidak lagi kesipuan menyatakan persefahaman. HARAPAN menggigil ketakutan melihat betapa ampuhnya taawun kedua-dua parti.

Jika boleh disebutkan salah satu kesan besar kerjasama PAS dan Umno buat masa ini, ia tentulah merujuk kepada kadar peratusan pengundi yang sanggup menyertai PRK berkenaan.

Dari Sungai Kandis - yang malu-malu itu - membawa ke Seri Setia jumlah pengundi yang keluar pada hari pengundian semakin menurun. Bukankah itu isyarat bahawa mereka semakin menerima PAS dan Umno?

Cara PAS faham pengundi

Pada tahap 44 peratus sokongan kepada PAS melonjak dengan begitu ketara. Khabar gembira berkenaan disambut pemimpin PAS dengan semangat yang membara.

Apatah lagi jika mengambil kira pencapaiannya yang kurang menyerlah pada PRU ke-14 jika dibandingkan dengan BN yang diwakili Umno.

Kini dengan semangat padu kedua-dua parti, PAS mencatat kemenangan di beberapa pusat mengundi. Siapa lagi yang memberi sokongan itu kalau bukan pengundi atas pagar, kan?

Siapa pula yang paling untung daripada persefahaman itu kalau bukan Umno.

Jika strategi itu terus berjalan dengan jayanya, ditambah dengan semangat membara pemimpin tertinggi kedua-dua parti - dan tidak lupa logika PAS mengenai kehendak sebenar pengundi - PAS atau Umno memang berpeluang besar mencipta kemenangan.

Caranya, dengan berharap pengundi semakin kurang keluar mengundi. Mungkin jika peratusan itu mencapai tahap 20 peratus PAS akan berjaya dan HARAPAN bakal kehilangan deposit pada PRK akan datang.

Itu ialah sifir unik PAS untuk memahami selera majoriti pengundi di negara ini.

Antara simbolik dan fizikal

Namun satu hakikat yang membuat ramai orang terkilan ialah kegagalan PAS menampilkan susuk pemimpin terunggul mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Bekas menteri besar Terengganu itu hanya muncul pada malam pengisytiharan calon. Selebihnya sama ada beliau memang tidak dibawa muncul, atau dimunculkan secara simbolik. Kemunculan dalam mimpi pula tidak termasuk dalam perbincangan kali ini.

Mungkin ramai tidak sedar, Abdul Hadi adalah kunci kepada banyak kejayaan PAS sama ada pada masa lalu atau akan datang. Populariti beliau begitu tinggi sejak setahun dua ini.

Malangnya kelibat Abdul Hadi hanya dapat dilihat secara terhad. Pada poster atau tirai belakang pentas-pentas ceramah, misalnya. Pun begitu jumlah sokongan kepada PAS dilaporkan meningkat dengan mendadak.

Bayangkan kalau Abdul Hadi sendiri secara fizikal hadir berkempen di Seri Setia.

Tidak dapat difahami mengapa PAS dan Umno seakan-akan tidak mahu membawa Abdul Hadi bertemu pengundi Seri Setia setiap hari. Kecualilah PAS memang mengambil strategi berkias dan bermadah dengan menampilkan Abdul Hadi secara simbolik saja.

Tidak mungkin PAS dan Umno sengaja mahu Abdul Hadi dikurangkan muncul di Seri Setia. Tidak ada sebab mengapa mereka mahu berbuat demikian kerana anggota parlimen Marang itu mustahil menjadi liabiliti buat sebuah parti yang matang dan sejahtera.

Kalaulah Abdul Hadi boleh dibawa bersama dengan Datuk Seri Najib Razak berkempen dari rumah ke rumah di Seri Setia, besar benar potensi PAS untuk membentuk kerajaan di Selangor tidak lama lagi.

Satu lagi faktor yang perlu diberi perhatian oleh PAS dan Umno ialah merangka langkah agar kedua-dua parti mencapai titik persetujuan menggunakan logo tunggal bersama.

Ia tentulah tidak begitu sukar kalau melihat kepada kenyataan demi kenyataan dibuat pemimpin kedua-dua parti yang yakin rakyat semakin menerima ketaawunan berkenaan.

Alang-alang mandi, biar basah. Alang-alang seluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang pungut derma, biar dalam tong yang sama. Alang-alang bertaawun biar sampai bersatu di bawah satu simbol.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

Lihat Komen
ADS