Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Keputusan PRK Seri Setia tanda parti kian diterima
Diterbitkan:  Sep 10, 2018 12:21 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Biar apa pun dikata orang, PAS percaya keputusan pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia yang berlangsung pada 8 Sept lalu sebagai isyarat awal kepada perubahan soko­ngan rakyat terhadap perjuangan parti itu meskipun mereka kalah.

Itu keyakinan disuarakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dibuat berdasarkan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah.

Justeru kata Abdul Hadi perkembangan yang berlaku itu juga sekali gus merupakan petanda protes orang ramai terhadap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“PAS menghormati keputusan rakyat dalam PRK Seri Setia dan mengucapkan terima kasih kepada para pengundi di atas kepercayaan yang diberikan.

“PRK Seri Setia menunjukkan isyarat awal perubahan sokongan rakyat terhadap perjuangan PAS.

"Peratusan keluar mengundi yang rendah juga merupakan petanda undi protes terhadap kerajaan HARAPAN,” katanya dalam satu kenyataan media.

Sabtu lalu, calon PAS Dr Halimah Ali gagal membawa khabar yang diharapkan buat pembangkang apabila gagal merampas kerusi Seri Setia daripada HARAPAN.

Bekas exco Selangor itu kalah kepada calon HARAPAN, Halimey Abu Bakar dengan majoriti 4,027 undi.

Bagaimanapun, jumlah kelebihan undi yang diperoleh Halimey itu jauh berbeza dengan majo­riti diperoleh pemenang sebelum ini, Allahyarham Dr Shaharuddin Badaruddin iaitu 19,372 undi pada pilihan raya umum ke-14 lalu.


Baca PAS, Umno positif pengundi Sg Kandis buat protes


Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata PAS komited untuk terus memperjuangkan nasib rakyat dan sedia terus menjadi pembangkang.

Pada masa sama kata anggota parlimen Marang berkenaan, PAS juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak demi mewujudkan keamanan dan kesejahteraan negara.

Beliau turut tidak lupa menzahirkan ucapan penghargaan kepada rakan-rakan parti pembangkang - daripada Umno dan MIC - yang memberikan sokongan sepanjang tempoh pilihan raya kecil tersebut.

“Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada para petugas PAS, pasukan keselamatan, pengamal media serta semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama dengan baik,” jelas beliau.

Tidak dapat dipastikan mengapa Abdul Hadi mengecualikan ucapan terima kasih itu kepada MCA walaupun PAS turut memberikan sumbangan berkempen bagi memenangkan calon parti terbabit dalam PRK Balakong pada hari sama.

Lihat Komen
ADS