Ulasan Malaysiakini

Tentang bangsawan yang bermain politik

A Kadir Jasin  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

ULASAN | Kospirasi, plot, komplot dan intrig perkara biasa dalam politik. Semua ini juga biasa dalam dunia risikan yang gelap.

Ia memang wujud tetapi boleh juga jadi teori semata-mata. Zaman sekarang ada banyak teori konspirasi dan kita di Malaysia tidak kebal daripadanya.

Baru-baru ini seorang putera diraja dilaporkan secara meluas mengatakan beliau mengesyaki kegiatan media sosial dirinya dan bapanya dipantau.

Polis nampaknya memandang serius dakwaan itu sehingga Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengeluarkan kenyataan yang mengatakan tiada pantauan terhadap akaun media sosial keluarga diraja Johor.

Beliau begitu serius menafikannya sehingga berkata akan memohon mengadap Sultan.

Bagi saya, yang telah menjadi penulis selama 49 tahun dan menjadikan medium digital sebagai salah satu platform - ketika saya memulakan blog ini pada 2006 - saya tidak terlalu kisah tentang sesiapa memantau saya.

Malah, kerana ego, saya suka orang memantau saya. Ini bermakna mereka membaca tulisan saya. Jadi, nasihat saya kepada mereka yang aktif di atas talian adalah untuk mula menerima hakikat bahawa "anda dipantau".

Anda mungkin tidak dipantau polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Tetapi bergantung kepada siapa anda, anda mungkin juga dipantau oleh agensi risikan dalam dan luar negara.

Anda mungkin diperhati kerajaan asing yang merasakan posting anda mencerminkan pandangan kerajaan atau organisasi besar tertentu.

Atau, lebih penting, kerana anda boleh digunakan sebagai alat tawar-menawar dalam rundingan dan risikan antarabangsa.

Perlu sedia dikritik

Ketika Perang Dingin, menjadi amalan lazim agensi risikan untuk menggoda tokoh politik penting dengan wanita cantik, wain dan wang.

Sebaik sahaja politik bernafsu kuat ini dirakam, mereka akan digunakan sebagai double agent dan boneka untuk menumbangkan atau melemahkan kerajaan mereka sendiri.

Tetapi dalam kes putera raja dan bapanya, kerisauan yang lebih utama adalah bukan tentang pemantauan kegiatan media sosial mereka.

Ia adalah tentang mereka memasuki arena politik di mana mereka akan dihentam, kekebalan mereka dipersoal dan status mereka direndahkan.

Sesiapa yang bermain politik perlu sedia untuk dilayan sebagai ahli politik termasuk ketika mereka menggunakan media - media sosial atau rasmi - untuk memberikan pandangan berpihak.

Misalnya, New Straits Times memetik seorang Tengku Mahkota sebelum pilihan raya umum 9 Mei lalu yang berkata, rakyat perlu membuka mata dan tidak terpedaya dengan individu berusia 93 tahun yang mahu menjadi perdana menteri. Orang tahu siapa individu berusia 93 tahun yang dirujuk putera itu.

Beliau meminta rakyat menggunakan kebijaksanaan, dan berkata beliau tahu perkara yang mereka tidak tahu.

"Inilah masanya untuk restore the order dan melaksanakannya kepada sistem yang telah dirosakkan oleh individu yang berumur 93 tahun ingin menjadi perdana menteri sekarang ini," katanya seperti dilapor NST.

Jadi saya tidak terkejut jika orang kini mula "memantau" kegiatan media sosial putera mahkota ini dan bapanya untuk melihat jika mereka terus menyuarakan pandangan berpihak berbanding menjadi royal dan regal.

 

*Artikel ini diterjemah daripada hantaran Abdul Kadir Jasin di blognya dalam bahasa Inggeris bertajuk Stray Into Political Arena and You Get Clobbered.


DATUK A KADIR JASIN adalah Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri. Beliau adalah bekas ketua pengarang Kumpulan New Straits Times Press (M) Bhd dan kini bergiat dalam BERSATU sebagai pimpinan pusat parti itu.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.