Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanif tanpa sedar jadi alat puak ekstrem, kata Lim
Diterbitkan:  Sep 11, 2018 4:53 PM
Dikemaskini: 9:17 AM

Bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar secara tidak sengaja menjadi alat kepada puak ekstremis apabila mendakwa DAP mahu memisahkan semenanjung kepada orang Melayu dan bukan Melayu, kata pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

"Saya ingin nasihatkan Hanif, jika dia tidak nyanyuk, maka dia patut...tidak menjadi bekas ketua polis yang tak bertanggungjawab dengan tidak sedar akan dasar 'bumi hangus' oleh eksremis dan oportunis politik Umno dan PAS...memperguna politik kaum, agama, ketakutan dan pembohongan yang bahaya.

"Dia (Hanif) patut sedar kisah tidak benar yang DAP mahu memisahkan semenanjung Malaysia kepada dua bahagian...akan menjadi senjata kepada ekstremis dan oportunis politik pasca PRU ke-14," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjadikan ucapan anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Himpunan Melayu Bangkit sebagai contoh, yang menurut anggota parlimen Iskandar Puteri itu bertujuan mengapi-apikan permusuhan antara kaum dan agama.

Kata Lim, jika benar DAP pernah mencadangkan semenanjung dipisahkan mengikut kaum pada 1969, ia tidak akan menjadi rahsia untuk satu tempoh yang cukup lama.

"Jika saya atau DAP mencadangkan pemisahan itu, ia tidak akan menjadi rahsia untuk separuh abad, kerana ia pastinya akan digunakan untuk menyerang saya dan DAP.

"Bolehkah Hanif menjelaskan mengapa cadangan itu tidak diketahui pemimpin DAP, saya sendiri tidak pernah mendengarnya, dan mengapa ia menjadi rahsia begitu lama?"

Hari ini Hanif dilaporkan mendakwa cadangan daripada seorang pemimpin DAP itu dinyatakan dalam laporan risikan polis Cawangan Khas (SB). Beliau tidak menamakan pemimpin DAP itu.

Sebelum ini, Hanif dilaporkan berkata beliau menahan Lim selama dua tahun, selepas cadangan pemisahan itu didakwa diutarakan.

Namun beliau kemudian menjelaskan bahawa penahanan yang dimaksudkan itu ketika Ops Lalang 1987, bukan selepas peristiwa 13 Mei 1969.

Terdahulu, Lim memberi tempoh 48 jam kepada Hanif untuk menunjukkan bila dan di mana beliau membuat cadangan untuk memisahkan semenanjung itu.

Tempoh itu tamat Ahad lalu dan Lim berkata beliau telah memulakan tindakan undang-undang.

"Memandangkan saya telah mengarahkan peguam saya, Ramkarpal Singh untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Hanif, saya akan menyerahkan soal ini kepada Ramkarpal," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS