Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saman Tajuddin terhadap Khalid, NSTP, KiniTV akan dibicarakan

Saman fitnah bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani Datuk Tajuddin Abdul Rahmat terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad, New Straits Times Press (M) Bhd dan KiniTV akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula bulan depan.

Ia selepas pihak yang terlibat gagal membuat penyelesaian dalam kes itu.

Pesuruhjaya kehakiman Aliza Sulaiman menetapkan perbicaraan akan dibuat pada 1-2 November serta 3 dan 6 Disember ini susulan pengurusan kes hari ini.

Peguam KiniTV - subsidiari milik penuh Malaysiakini - K Shanmuga memberitahu perkara itu kepada pemberita, hari ini.

Peguam Khalid, K Muralidharan pula berkata tiada cadangan untuk penyelesaian walaupun Aliza mahu semua pihak menimbang kemungkinan itu.

Tajuddin memfailkan saman itu pada 22 Februari tahun lalu ekoran beberapa sidang media yang bermula apabila Tajuddin merujuk Anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang memiliki "kok" dan Khalid bertindak balas dengan memanggil beliau 'sial' di parlimen pada 21 November 2016.

Tajuddin yang juga anggota parlimen Pasir Salak menyaman Khalid selepas beliau menegaskan kembali kenyatan "sial" serta mempersoalkan kelakuan Tajuddin dalam sidang media di luar Parlimen, beberapa hari selepas pertelingkahan itu berlaku.

Saman itu mendakwa kenyataan Khalid bersifat fitnah kerana menggambarkan Tajuddin, antara lain, bukan seorang muslim yang baik, terkutuk ke neraka, tidak bermoral dan tidak layak menjadi seorang anggota parlimen dan timbalan menteri.

Tajuddin menyaman NST kerana menyiarkan kenyataan Khalid itu.

Saman itu menyatakan Khalid dan NST enggan memohon maaf dan berkata kenyataan itu bukan fitnah. Tajuddin turut menyaman KiniTV kerana menyiarkan rakaman sidang media Khalid itu yang diadakan pada 24 November 2016.

Khalid membuat sidang media itu selepas diserang dipercayai oleh sekumpulan individu dari Pasir Salak termasuk anak Tajuddin, Faisal.

Ketika itu, Khalid menyalahkan Tajuddin untuk serangan itu.

Saman itu berkata rakaman sidang media yang disiarkan KiniTV sebagai fitnah kerana ia menggambarkan Tajuddin, antara lain, seorang yang menggunakan kekerasan fizikal terhadap seteru politik, melakukan kesalahan jenayah kerana mengapi-apikan serangan itu dan tidak layak untuk menjadi anggota parlimen dan timbalan menteri.

Ia juga mendakwa KiniTV tidak memberi maklum balas terhadap surat tuntutan daripada pihak Tajuddin.

KiniTV memberi maklum balas melalui syarikat pemilik, Malaysiakini, yang dihantar kepada firma Murthi & Partners pada 21 Februari 2017, dan diterima oleh wakil firma itu.

Dalam surat itu, Malaysiakini berkata rakaman itu adalah laporan berita berkaitan kepentingan awam memandangkan Tajuddin terlibat dalam debat terbuka dengan Khalid. Ia juga menawarkan timbalan menteri itu hak untuk memberi jawapan balas.

Tajuddin menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau teruk, faedah pada kadar lima peratus setahun untuk jumlah yang mungkin diberikan kepadanya, kos dan lain-lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.

Lihat Komen
ADS