Paling Popular
Terkini

Bertempur dengan komunis, diserang hendap, dibedil bertalu-talu dan melihat rakan seperjuangan gugur di tangan komunis, memang mustahil dilupakan.

Segala yang berlaku masih segar dalam ingatan Udin Mahmud, 84, bekas Pegawai Waran I, Tentera Darat Malaysia.

Mengimbau masa lalu, beliau yang lebih mesra dengan panggilan Tok Udin berkata platunnya pernah diserang hendap sebanyak dua kali ketika di Pahang iaitu pada 1954 dan 1955.

“Pertempuran pertama berlaku ketika saya dan platun seramai 40 orang ditugaskan melaksanakan operasi di Kampung Ulu Atok, Raub.

“Keadaan menjadi kucar kacir apabila platun kami diserang hendap ketika memasuki kawasan hutan di kampung itu. Kami dibedil bertalu-talu oleh komunis,” katanya ketika ditemu bual Bernama di Kuala Pilah.

Patuh pada arahan sarjan yang bertugas, Tok Udin dan rakan-rakannya segera membalas tembakan dan menurut beliau, “Saya berjaya membunuh beberapa anggota komunis.”

Walaupun beberapa anggota platunnya terkorban, ramai juga anggota komunis yang berjaya ditembak mati oleh pasukan keselamatan negara itu.

Nyawa melayang

Bagi Tok Udin, bertugas di Raub ketika itu ibarat ‘menjual nyawa’ kerana kawasan itu adalah kawasan hitam dan merupakan sebuah penempatan komunis yang hebat.

Jika silap langkah, tambah beliau, pasti nyawa melayang kerana setiap pergerakan dalam hutan sentiasa diperhati oleh komunis.

Anak kelahiran Serting Ulu, Jempol, itu memberitahu bahawa serangan hendap kedua berlaku ketika beliau sedang menyediakan sarapan ketika menyertai operasi di Mengkuang, Bera.

“Tiba-tiba tembakan bertalu-talu menghujani kami yang sememangnya dalam keadaan yang tidak bersedia. Dengan pantas kami mengambil senjata dan membalas tembakan komunis. Ketika itulah naluri saya mendesak ‘musnah dan bunuh’ komunis, sekali gus saya jadi bersemangat dan berani.

“Terdetik di fikiran, mungkinkah saya akan bertemu ajal pada hari itu, tetapi nampaknya Allah masih melindungi saya,” katanya dalam nada sebak mengenangkan ketua pasukan serta beberapa rakannya yang terkorban pada hari itu.

Beliau sempat menarik ketua pasukannya yang masih bernyawa ketika itu ke kawasan selamat dan membimbingnya mengucap dua kalimah syahadah sebelum menghembus nafas terakhir.

Hargai kemerdekaan

Tok Udin yang kini menetap di Kampung Seri Pelangai, Kuala Pilah pernah bertugas di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Congo selepas negara mencapai kemerdekaan.

Selepas balik dari Congo beliau ditugaskan di Pontian, Johor pada 1965 ketika berlaku konfrontasi antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Melayu Raya (Malaysia).

Setelah 23 tahun berkhidmat Tok Udin menamatkan perkhidmatan ketika bertugas dengan pasukan terakhirnya iaitu Batalion Ke 2 Rejiman Renjer Diraja (RRD) yang berpangkalan di Kem Wardieburn, Kuala Lumpur pada 1975.

“Saya tidak pernah menyesal menyertai pasukan keselamatan mahupun dengan apa yang saya lalui kerana ia adalah sebahagian daripada pengorbanan saya kepada negara,” kata beliau yang kini merupakan Datuk Adat bergelar Datuk Maharaja Garang.

“Hakikatnya, kemerdekaan dan kebebasan yang kita nikmati selama ini adalah hasil pengorbanan perajurit demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan tanah air ini,” katanya.

Beliau berkata tiada yang lebih indah dalam hidupnya selain dapat melihat negara ini bebas daripada belenggu penjajah serta keamanan yang dinikmati rakyat negara ini.

Tok Udin berharap rakyat negara ini terutamanya generasi muda menghargai erti kemerdekaan negara dan menghayati semangat perjuangan anggota pasukan keselamatan yang sanggup menggadai nyawa dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan negara tercinta.

Stok makanan

Turut berkongsi kisah hitam masa lampau ketika terpaksa berhadapan dengan komunis adalah pesara polis Sarjan Sahar Mohd Zin, 66.

Peristiwa melihat rakan baiknya maut ditembak pengganas komunis semasa Op Paraku di Sibu, Sarawak pada 1975, masih segar dalam ingatannya.

Menyifatkan detik-detik memilukan itu sebagai kejadian paling sukar dilupakan, Sahar mengakui tidak mungkin dapat melupakan tarikh 6 April tahun itu.

“Ketika itu saya bersama platun ditugaskan untuk membantu seksyen lain yang bertempur melawan komunis di kawasan kebun getah berhampiran persisiran Sungai Stabau.

“Pada hari sebelumnya, pasukan rondaan polis menjumpai satu food dump yang mengandungi tiga guni balang beras hijau (anggaran 1 guni= 1 tong drum), dan beberapa jenis makanan lain.

“Itu adalah petanda bahawa anggota komunis akan kembali ke lokasi itu untuk mengambil semula stok simpanan makanan mereka,” katanya dalam temu bual bersama Bernama di Kuala Pilah.

Justeru, pegawai pemerintah ketika itu mengarahkan anggota-anggotanya supaya bersiap sedia melakukan serangan hendap pada malam itu.

Sembunyi di sebalik pokok

“Sepasukan anggota polis diarahkan untuk bersedia di lokasi food dump itu. Saya dan platun pula ditugaskan masuk ke kawasan operasi bagi membantu pasukan pertama.

“Ketika berjalan menuju ke lokasi, kami diserang hendap oleh kumpulan pengganas komunis yang bersembunyi di sebalik pokok getah,” tambah beliau.

Walaupun sahabat karibnya rebah di hadapan matanya akibat terkena tembakan yang tepat di dahi ketika pertempuran itu, dan mereka terus dihujani peluru, beliau dan pasukannya terus berjuang.

“Kami tidak meletak senjata, tidak sempat pun berduka atas pemergian rakan-rakan kerana kami nekad untuk melawan musuh negara habis-habisan.

“Masih terngiang-ngiang jeritan ‘Allahu Akhbar!’ dan serentak itu kelihatan pegawai memerintah pula rebah,” katanya.

Selepas beberapa ketika berbalas tembakan, seorang lagi rakan beliau, terkorban ditembak ketika menggunakan parang untuk menikam seorang komunis apabila menghadapi masalah dengan senjatanya yang tidak berfungsi.

Dalam pertempuran itu, tiga anggota polis terkorban dan dua komunis mati ditembak.

Sukar kesan komunis

Berkongsi pengalamannya, Sub-Inspektor Zainuddin Abdullah, 66, pula berkata tidak mudah untuk mengesan komunis kerana musuh sering kali menyamar sebagai penduduk tempatan.

“Antara pertempuran yang saya masih ingat adalah yang berlaku pada petang 25 Mei 1978. Ketika itu kami mendapat maklumat bahawa ada sekumpulan komunis yang berada tidak jauh dari kawasan pangkalan (base) kami di Ulu Naman, Sibu.

“Sepasukan 15 anggota polis diarahkan membuat rondaan dan ketika melalui kebun lada hitam, pasukan kami bertembung dengan anggota komunis,” jelas beliau.

Selepas berbalas tembakan selama 20 minit, dua komunis iaitu seorang lelaki dan seorang wanita berjaya ditembak mati.

Walaupun, kesemua mereka telah bersara, namun pengalaman lalu nyata segar dalam ingatan masing-masing. Setiap peristiwa diceritakan dengan perincian detik demi detik, perjuangan yang mereka harungi dalam menentang komunis demi tanah air tercinta.

Disunting oleh Sarimah Othman

-Bernama

Lihat Komen
ADS