Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Najib jangan buat tak tahu cukai perkhidmatan 6% sejak GST'

ULASAN | Sebanyak 75 peratus daripada kedai dan restoran di bawah GST tidak akan dikenakan cukai SST selepas nilai ambang SST dinaikkan kepada RM1.5 Juta daripada RM500,000 di bawah GST.

Bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak buat-buat tidak tahu bahawa cukai perkhidmatan 6% memang dikenakan di bawah SST sama seperti GST.

Beliau terus merungut bahawa terpaksa membayar cukai perkhidmatan 6% untuk minuman dan makanan di restoran dan kedai kopi sungguhpun beliau bukan seorang pengilang.

Najib tidak harus berpura-pura tidak tahu akan perkara ini kerana beliau menjadi Menteri Kewangan sejak 2008, sebelum pelaksanaan GST pada 1 April 2015, di mana SST 6% juga dikenakan sebagai cukai perkhidmatan untuk kedai kopi dan restoran.

Perbezaannya ialah di bawah pelaksanaan SST, cuma restoran-restoran yang mempunyai pendapatan yang melebihi nilai ambang RM1.5 juta setahun sahaja yang dikenakan cukai perkhidmatan 6% kepada pengguna.

Nilai ambang ini adalah 3 kali ganda lebih tinggi berbanding GST, yang sebelum ini dikenakan kepada pengguna daripada restoran yang mempunya pendapatan melebihi RM500,000 setahun.

Ini terbukti apabila cuma terdapat 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SST berbanding 17,574 restoran di bawah GST, iaitu 4 kali ganda lebih besar di bawah GST.

Bukankah kesan SST jauh lebih kurang daripada GST apabila hanya 25% daripada restoran dan kedai kopi terkesan di bawah SST berbanding dengan GST?

SST juga menyaksikan pengguna juga dapat menikmati harga kereta yang lebih rendah apabila sekurang-kurangnya lima jenama kereta iaitu Perodua, Honda, Toyota, Volkswagen dan BMW lebih murah berbanding dengan GST antara RM2,000 hingga RM3,000 seperti berikut:

Kerajaan juga memberikan pengecualian SST terhadap bahan dan perkhidmatan binaan berlainan dengan GST yang mengenakan 6%.

Ini telah disambut baik oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Pulau Pinang yang bersedia menurunkan harga rumah sehingga 10 peratus untuk rumah melebihi RM300,000, manakala diskaun 6 peratus dikenakan bagi rumah mampu milik yangberharga RM300,000.

Kerajaan Persekutuan amat mengalu-alukan sebarang keputusan daripada pemaju untuk menurunkan harga rumah selari dengan pengecualian SST ini.

Saya akan berjumpa dengan REHDA Malaysia untuk membincangkan sama ada langkah sama di Pulau Pinang boleh diamalkan di seluruh negara.

Kerajaan juga sentiasa komited untuk memastikan harga barang terkawal dengan pelaksanaan SST yang kini telah ditambahbaik. Kementerian Kewangan dengan kerjasama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa menjalankan kempen anti- pencatutan kerana memang ada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga dengan sewenang-sewenangnya dan Kerajaan meminta kerjasama daripada orang awam untuk memberikan maklumat tentang kenaikan harga barang yang tidak munasabah.


Lim Guan Eng merupakan Menteri Kewangan dan anggota parlimen Bagan.

Tulisan ini merupakan padangan peribadi penulis atau organisasi yang diwakilinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS