Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan cari penyelesaian banjir air pasang besar

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) komited mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang menangani banjir akibat fenomena air pasang besar khususnya di Pantai Barat Semenanjung.

Menteri Air, Tanah dan Smber Asli Dr Xavier Jayakumar berkata bagi jangka pendek, KATS melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan memantau dan mengenal pasti kawasan berisiko serta menyalurkan peruntukan khas sekiranya perlu bagi kerja-kerja membaik pulih struktur ban pantai yang rosak akibat banjir.

Menurutnya, untuk jangka panjang pula, kerajaan telah meluluskan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk menangani masalah fenomena air pasang besar di beberapa lokasi kritikal di Pantai Barat Semenanjung iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Perlis.

“Kawasan pesisir pantai khasnya Pantai Barat Semenanjung Malaysia adalah rendah dan landai dan kebanyakannya dilindungi oleh ban-ban pantai.

"Namun begitu, terdapat lokasi ban pantai ini yang terdedah kepada ombak ketika air pasang dan terhakis teruk akibat tiada perlindungan semula jadi hutan bakau.

“Akibatnya, kawasan ini amat berisiko dilanda banjir pantai khususnya ketika air pasang besar,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, terdapat lima daerah yang terlibat dengan fenomena air pasang besar di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Limpahan air laut

Beliau berkata status pantai seperti di Johor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis masih terkawal dan fenomena air pasang tidak menyebabkan sebarang limpahan air berlaku di pesisir pantai.

Beliau berkata kejadian air pasang besar adalah normal, berlaku dua kali sebulan dan tempoh masa kejadian air pasang besar lazimnya adalah selama tiga hari.

Walau bagaimanapun, katanya kejadian air pasang besar yang disertai ombak kuat dan angin kencang adalah fenomena yang menyebabkan berlakunya limpahan air laut serta kejadian banjir pantai (coastal flooding).

“Pertembungan hujan lebat di daratan dan pengaruh air pasang ini pula akan menyebabkan berlakunya banjir di kawasan rendah,” katanya.

Berhubung kawasan berisiko air pasang besar di Selangor, Jayakumar berkata sehingga hari ini, keadaan di pesisiran pantai bagi Sepang, Kuala Langat, Klang dan Kuala Selangor adalah terkawal dan tiada limpahan air laut berlaku di kawasan berpenduduk.

Bacaan aras laut tertinggi pada semalam iaitu 5.6 meter di Pelabuhan Klang dan 3.2 meter di Bagan Datoh, katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS