Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Seperti yang dijangka, tidak ada apa-apa kejutan pada tiga pilihan raya kecil (PRK) di era Malaysia baru di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pihak pembangkang di Selangor khasnya pula, gagal dalam tiga peluang untuk mencabar dan merubah status quo landskap sedia ada 51 HARAPAN - 1 PAS - 4BN.

Kemenangan di Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia juga adalah satu tanda aras ukuran kejayaan dalam ujian litmus kepada HARAPAN.

Persepsi bahawa kerajaan HARAPAN yang dilihat cuma mampu laksanakan 21 dari 60 janji dalam skor manifesto 100 hari itu tidak banyak merubah keyakinan dan sokongan rakyat kepada HARAPAN.

Ia juga boleh ditafsirkan bahawa gelombang kebangkitan rakyat pada PRU14 untuk menabalkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tidak semestinya terdorong oleh janji manifesto semata-mata, tetapi lebih kepada motivasi untuk memerdekakan negara keluar dari belenggu regim Umno-BN.

Ringkasnya, HARAPAN memenangi ketiga-tiga kerusi dalam PRK ini, dengan keputusan 3-0. Secara kualitatifnya pula, di samping faktor parti dan calon yang bertanding, penilitian boleh dibuat keatas pencapaian peningkatan peratus majoriti dan peningkatan undi popular HARAPAN.

Peningkatan majoriti

Realiti sebenarnya, HARAPAN sebenarnya menyaksikan peningkatan peratus kemenangan di dua DUN, berbanding satu DUN untuk gabungan BN dan PAS.

Untuk tujuan ini, perbezaan majoriti adalah dibuat diantara undi HARAPAN di satu pihak berbanding gabungan undi BN campur PAS di pihak yang lain, kemudian dinisbahkan kepada jumlah undi sah, untuk PRU14 dan PRK.

Sebagai contoh, pecahan undi untuk PRU14 di Sungai Kandis adalah HARAPAN 23,998, BN 11,518 dan PAS 7,573.

Bermaksud undi HARAPAN (23,998) mengatasi gabungan undian BN+PAS(19,091), dengan majoriti 4,907, bersamaan 11.4% dari undi sah.

Pada PRK, undi HARAPAN (5,427) mengatasi gabungan undi BN+PAS (9,585), dengan majoriti 5,842, bersamaan 23.3% dari undi sah. Ini bermaksud, HARAPAN menyaksikan penambahan peratus majoriti sebanyak 11.9%.

Mengguna pakai kaedah yang sama, HARAPAN menyaksikan penurunan majoriti sebanyak 16.7% di Seri Setia, dan penambahan majoriti 14.9% di Balakong.

Kesimpulannya, HARAPAN menyaksikan penambahan peratus majoriti di Sg.Kandis dan Balakong, dan kemerosotan peratus majoriti untuk Seri Setia. Keputusan HARAPAN 2, sementara BN dan PAS 1.

Trend yang sama boleh di lihat untuk peningkatan peratus undi popular untuk HARAPAN khasnya, di mana HARAPAN menyaksikan peningkatan di Sungai Kandis dan Balakong, dan mengalami kemerosotan di Seri Setia.

Untuk tujuan ini, perbandingan dibuat berdasarkan undi yang di perolehi oleh HARAPAN, dinisbahkan kepada jumlah undi sah untuk PRU14 dan PRK.

Sebagai contoh, undi HARAPAN di Sungai Kandis adalah 23,998 dinisbahkan kepada 43,165 undi sah, bersamaan 55.6% undi popular.

Pada PRK, undi HARAPAN adalah 15,427 dinisbahkan kepada 25,109 undi sah, bersamaan 61.4% undi popular. Ini bermaksud, HARAPAN menyaksikan peningkatan undi popular sebanyak 5.8% untuk Sungai Kandis.

Mengguna pakai kaedah yang sama, HARAPAN menyaksikan penurunan sebanyak 8.4% peratus undi popular di Seri Setia, dan penambahan 7.5% peratus di Balakong.

Kesimpulannya, HARAPAN menyaksikan peningkatan undi popular di Sungai Kandis dan Balakong, dan kemerosotan di Seri Setia. Keputusan HARAPAN 2, sementara BN dan PAS 1.

Perbandingan peratus peningkatan majoriti dan undi popular lebih jelas di gambarkan dengan grafik dibawah;

Hakikat sebenarnya, banyak lagi persoalan yang perlu ditafsirkan dari tiga PRK yang dilalui ini.

Persoalan seperti peranan PAS yang mengambil risiko menyatakan sokongan secara terbuka kepada MCA di Balakong (walaupun Umno sendiri tidak dilihat seberani PAS), persoalan adakah PAS membantu melonjakkan pencapaian MCA ataupun sebaliknya mempercepatkan tempoh ajal MCA, persoalan trend yang bercanggah di antara calon pembangkang untuk Sungai Kandis dan Seri Setia, persoalan tentang trend sokongan pengundi Umno kepada PAS di Seri Setia tidak dilihat dibalas oleh pengundi PAS kepada Umno di Sungai Kandis, dan tentunya persoalan tentang nasib dan masa depan karier politik Dr Halimah Ali sendiri, setelah dijadikan bahan ujikaji PAS dan gagal.

Tidak pula menjadi niat penulis mencuba untuk merungkai jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut kali ini. Sebaliknya akan disambung dalam bahagian kedua tulisan ini.


NAZRI NOOR adalah pembaca Malaysiakini dan penganalisis di firma Strata Analytica.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS