Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RUU mansuh akta antiberita palsu ditolak demi agenda BN - Menteri
Diterbitkan:  Sep 12, 2018 9:06 PM
Dikemaskini: 1:08 PM

Para senator BN yang merupakan majoriti di Dewan Negara telah menolak Rang Undang-undang Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 demi agenda politik mereka sendiri, kata Menteri Undang-undang, Liew Vui Keong.

Dalam suatu kenyataan, menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata penolakan itu memberi kesan "serius, negatif" kepada negara.

"Walaupun para senator yang tidak diundi melalui pilihan raya itu berhak di bawah perlembagaan untuk berbuat demikian (menolak RUU itu) tindakan mereka menjejaskan integriti Dewan Rakyat, yang mana anggotanya dipilih oleh rakyat.

"Hak mereka sewajarnya dilaksanakan untuk kepentingan rakyat dan bukan demi agenda peribadi," katanya.

Menurutnya, penolakan itu berbaur tindakan balas dendam para senator BN disebabkan BN kehilangan kuasa pada pilihan raya umum ke-14, dengan tujuan melemahkan pentadbiran Pakatan Harapan.

'Undang-undang perlu diperbaiki'

Liew mendakwa akta antiberita palsu telah diluluskan oleh pentadbiran BN sebelum ini "secara tergesa-gesa dan tanpa perundingan" dengan pihak berkepentingan yang berkaitan.

"Akta ini menimbulkan tindak balas negatif daripada rakyat dan media.

"Ia dilihat sebagai kebocoran kebebasan bersuara, terutamanya media. Banyak pihak, termasuk NGO, telah mendesak pemansuhannya, tetapi tindakan Dewan Negara untuk menolak rang undang-undang pemansuhan itu bertentangan dengan semangat majoriti rakyat yang ingin melihat kerajaan baru 'memulihkan keadaan'," jelas Liew.

Usul itu dikalahkan oleh pengundian blok, yang menyaksikan 28 senator menolak rang undang-undang pemansuhan itu, 21 menyokong dan tiga berkecuali.

Senator BN, Khairul Azwan Harun, dalam satu kenyataan kemudian, berkata pembangkang menyekat pindaan untuk memansuhkan akta antiberita palsu itu kerana mereka percaya bahawa undang-undang itu perlu diperbaiki dan bukannya dimansuhkan.

Lihat Komen
ADS