Paling Popular
Terkini

Hukuman takzir perlu dilhat sesuai mengikut peredaran zaman dan situasi, kata Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Dr Mariah Mahmud.

Beliau merujuk hukuman enam sebatan yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap dua wanita kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta baru-baru ini.

ADUN Seri Serdang itu berkata hukuman sebat syariah sewajarnya dibincangkan dalam ruang terbuka dan pelaksanaannya tidak semestinya dalam bentuk menyakitkan dan dimalukan di khalayak ramai.

“Para ulama perlu lihat apa yang boleh diterima pada waktu ini, apa yang Pakatan Harapan (HARAPAN) nak buat, kita bawa Malaysia baru, compassionate, tak semua perlu dihukum dan dimalukan di hadapan orang ramai, kita boleh modify (hukuman).

“Kenapa (saya kata begitu)? Dua hukuman denda dan sebat boleh tukar kepada khidmat komuniti dan panggil hakim dan keluarga beri nasihat, hukuman itu tak semestinya menyakitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum berjudul "Sebatan di khalayak ramai, sejauh mana islamiknya?" yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor, malam tadi.

Dr Mariah turut memberi contoh bagaimana hukuman yang dilakukan oleh ibu bapa dahulu terhadap anak-anak, kini tidak lagi boleh digunakan.

“Kalau dulu kita pukul anak its okay, untuk didik, ada yang ikat di pokok, pada zaman itu diterima tapi hari ini (kalau ibu bapa buat akan) dituduh mendera (anak).

"Jadi kena ada pembaharuan tapi perlu ada sepakat dan perdebatan. Hukuman kena seiring zaman dan masa,” jelasnya.

Forum malam tadi turut dihadiri Peguam Hak Asasi Manusia Fadiah Nadwa Fikri (gambar), Pengarah Akademi Saudara, Wan Ji Wan Hussin dan peguam yang juga pendakwah bebas Dr Ahmad Jailani Abdul Ghani.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan enam kali sebatan secara terbuka terhadap dua wanita berumur 32 dan 22 kerana cuba melakukan hubungan seks di dalam sebuah kereta di Dataran Arena Squre, Dungun.

Sementara itu, Fadiah pula berpendapat masyarakat hari ini ‘pukul rata’ terhadap isu ini tanpa mendalami masalah sebenar yang dihadapi kedua-dua wanita terbabit.

“Tengok je mentaliti kita di media sosial lepas ditahan, (mereka di media sosial sebut) kita (patut) bunuh mereka (tapi) kita pernah tak bercakap dengan golongan LGBT? Apa mereka lalui?” Soalnya.

Fadiah turut berkata kemungkinan kedua-dua mereka tidak diberikan khidmat guaman yang sewajarnya memandangkan mereka pada mulanya mengaku tidak bersalah kemudian menukar pengakuan sebaliknya.

Katanya, golongan itu juga mahu difahami seperti orang lain.

“Bila kita cakap keadilan dalam masyarakat apa yang terjadi dengan hukuman mereka, (kita) cakap dah selesai, betul ke dah selesai.

“Kita cuma cakap takut dengan LGBT, saya faham takut (LGBT) tu sebab mereka tak faham isu. LGBT tak nak kekerasan cuma nak difahami,” katanya.

Lihat Komen
ADS