Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Peguam saran moratorium ke atas pelaksanaan Akta Berita Palsu
Diterbitkan:  Sep 13, 2018 12:46 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Peguam Syahredzan Johan mahu kerajaan mengenakan suatu moratorium ke atas perlaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar mulai sekarang sehinggalah akta tersebut dimansuhkan kelak.

Ini susulan keputusan Dewan Negara yang dikuasai oleh senator BN, semalam yang menolak usul pemansuhan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 selepas dibacakan buat kali kedua. Seramai 28 ahli Dewan menolak pemansuhannya, manakala hanya 21 yang menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.

Mengulas keputusan itu, Syahredzan yang juga adalah setiausaha politik kepada veteran DAP Lim Kit Siang berkata, tindakan tersebut adalah amat mengecewakan dan ahli-ahli Dewan Negara berkenaan gagal menggarap aspirasi rakyat dalam era Malaysia Baru.

“Akta Antiberita Tidak Benar adalah undang-undang anti-demokratik yang melanggar kebebasan asasi rakyat Malaysia dan memberi kuasa kepada pemerintah untuk menentukan apa itu ‘benar’ dan ‘palsu’. Di tangan pemerintah yang tidak bertanggungjawab, ia akan disalahgunakan.

“Sekiranya ia tidak disalahguna sekalipun, tidakkah ahli-ahli Dewan Negara yang menyokong akta ini sedar bahawa sekiranya akta tersebut dilaksanakan, ramai ahli-ahli parti pembangkang, termasuklah pemimpin tertinggi mereka, akan dikenakan tindakan kerana menyebar berita tidak benar?” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Syahredzan juga berharap bahawa kerajaan persekutuan akan meneruskan usaha untuk memansuhkan akta tersebut, walaupun terpaksa membentangkan Rang Undang-undang untuk memansuhkan akta itu di Dewan Negara semula selepas satu tahun.

“Pada masa yang sama, kerajaan diseru untuk mengenakan suatu moratorium ke atas perlaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar dari sekarang sehinggalah akta tersebut dimansuhkan kelak.

“Moratorium itu haruslah merangkumi aspek seperti penyiasatan, penahanan dan pendakwaan di bawah Akta tersebut.

“Moratorium juga harus dikenakan ke atas undang-undang lain yang sedang dalam reviu seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(SOSMA), Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA), Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan lain-lain akta yang zalim dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau juga memohon kerajaan untuk meneruskan usaha mendukung semula kebebasan asasi rakyat yang telah dinafikan dan disekat oleh undang-undang yang digubal oleh kerajaan BN terdahulu.

Katanya, ini boleh dilakukan melalui reformasi institusi dan perundangan, walaupun kerajaan akan berdepan dengan cabaran daripada pihak pembangkang.

RUU itu yang bertujuan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 diluluskan di Dewan Rakyat pada 16 Ogos 2018 setelah bacaan kali ketiga.

Lihat Komen
ADS