Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
14,000 'lesen terbang' dipercayai dikeluarkan, polis tahan 12 pegawai JPJ

Pihak berkuasa menahan seramai 12 pegawai dan petugas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk seorang timbalan pengarah, dipercayai terlibat dalam pengeluaran dan penjualan lesen memandu haram.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata tangkapan itu susulan operasi bersama oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermula pada 4 Sept lalu.

Difahamkan sebanyak 14,000 lesen terbang dipercayai telah dikeluarkan sejak dua tahun lalu, kata menteri itu pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Pegawai yang ditahana adalah dari JPJ di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Siasatan awal menunjukkan sistem JPJ bagi prosedur pemandu asing disalahgunakan untuk memasukkan maklumat palsu dan menghasilkan lesen haram, kata Loke.

Beliau menambah pembeli lesen haram berkenaan merasuah pegawai untuk mendapatkan lesen tanpa menghadiri kelas atau ujian memandu.

Loke menggesa mereka yang telah membeli lesen haram itu untuk mengemukakan dokumen itu secara sukarela dalam tempoh sebulan, dan sekiranya gagal mereka boleh didakwa dan dikenakan denda RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Tindakan tahan kerja

Sementara itu Bernama melaporkan Loke yang tidak menolak kemungkinan ada lagi petugas JPJ yang akan ditahan SPRM selepas ini, berkata kesemua 12 yang ditahan sebelum ini dikenakan tindakan tahan kerja walaupun belum menghadapi pertuduhan di mahkamah.

"Tindakan tahan kerja adalah kerana kesalahan yang mereka lakukan serius dan supaya menjadi pengajaran kepada yang lain," katanya.

Kesemua 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan melibatkan seorang timbalan pengarah gred 44, masing-masing dua penolong pegawai penguat kuasa KP29 dan ketua pembantu penguat kuasa KP22 serta enam pembantu penguat kuasa KP19 dan seorang pembantu tadbir N19.

Menurut Loke, modus operandi mengeluarkan lesen terbang ialah menggunakan prosedur penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia sedangkan pemohon berkenaan tidak pernah memiliki lesen memandu di luar negara mahupun berkunjung ke luar negara.

"Lesen terbang berkenaan dijual di antara RM2,000 hingga RM3,500 melalui iklan di laman sosial. Pembeli hanya perlu membuat bayaran dan lesen akan dipos ke rumah," katanya.

Menurut Loke, terdapat warga asing yang memiliki lesen terbang dengan sebahagian besarnya melibatkan warga China.

Sebagai langkah penambahbaikan dan membendung gejala lesen terbang pada masa akan datang, beliau berkata JPJ akan memperhalusi kaedah ‘conversion’ (penukaran lesen memandu luar negara kepada lesen memandu Malaysia) dan menimbang kaedah mengiktiraf lesen memandu asing.

 

Lihat Komen
ADS