Kerajaan negeri Kedah sedang berusaha untuk membina semula jambatan baharu yang runtuh berhampiran Taman Serdang, Serdang di Bandar Baharu dekat Kulim sehingga mengorbankan dua remaja lelaki pada Isnin lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri Zamri Yusuf berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada Unit Forensik, Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memperoleh penyelesaian bermanfaat dalam jangka masa panjang.
“Kajian segera mengenai punca yang menyumbang kepada kejadian itu dilaksanakan Unit Forensik, JKR... dah siap laporan, baru akan tentukan lokasi jambatan baharu (tersebut),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri telah mengambil langkah segera, antaranya menutup laluan melibatkan jambatan itu selain menyediakan laluan lencongan kepada penduduk terlibat ke Pekan Serdang.
Sementara itu, Zamri turut mengarahkan jabatan berkaitan memeriksa tanah di jambatan berisiko di negeri ini dalam usaha mengelakkan kejadian sama berulang.
“Kejadian tanah runtuh di ‘approach’ jambatan ke Taman Serdang adalah kejadian yang tidak diingini dan mendukacitakan. Ia bukan sahaja kerosakan infrastruktur malah melibatkan kehilangan dua nyawa remaja belasan tahun,” katanya.
Semalam Bernama melaporkan penduduk taman itu mengharapkan jambatan runtuh yang merupakan laluan utama mereka dapat dibaiki segera untuk memudahkan pergerakan harian penduduk di situ keluar masuk pergi kerja selain urusan lain seperti menghantar anak ke sekolah.
Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, Muhammad Haikal Hakimi Mohd Noor dan Mohamad Haziq Ishak, masing-masing berumur 17 tahun, maut selepas tertimbus dalam kejadian runtuhan jambatan berhampiran taman itu.
- Bernama
