Pergerakan Pemuda Umno memberi amaran kepada pertubuhan pendidikan Cina, Dong Jiong Zong (DJZ) supaya tidak mengheret kaum lain dalam isu penggunaan bahasa ibunda untuk matapelajaran Matematik dan Sains.

Ketua Penerangannya, Datuk Azimi Daim berkata, DJZ mahu menjadi hero kononnya mereka mendapat sokongan pelbagai kaum membantah penggunaan bahasa Inggeris bagi kedua-dua matapelajaran tersebut.

Sebaliknya, beliau menyifatkan tindakan DJZ mengheret kaum lain dalam isu tersebut sebagai sangat tidak bertanggungjawab dan bertujuan untuk menambahkan kekeliruan dan bantahan orang ramai terhadap dasar kerajaan.

"Dakwaan DJZ bahawa hasrat mereka mendapat sokongan dari kaum lain, termasuk Melayu dan India, amat mengelirukan. Siapakah orang Melayu dan kaum India yang menyokong mereka?," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas usaha DJZ menganjurkan Persidangan Membantah Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (BI) bertempat Pusat Pendidikan DJZ di Kajang, esok.

Azimi berkata, jangan anggap apabila beberapa beberapa pertubuhan Melayu dan India menyokong penggunaan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik, semua orang Melayu dan India menyokong mereka.

Wakil orang Melayu

Katanya, wakil orang Melayu ialah Umno dan pertubuhan-pertubuhan yang diiktiraf oleh kerajaan manakala wakil masyarakat India ialah MIC, Parti Progresif Rakyat (PPP) dan Barisan Progresif India (IPF).

"Saya ingin mengingatkan DJZ supaya tidak mengkritik keterlaluan dan cuba membangkitkan sentimen kemarahan rakyat kepada kerajaan," katanya.

Sepatutnya, kata beliau, isu tersebut sudah lenyap tetapi malangnya ada beberapa pihak yang terus memainkan sentimen berkenaan untuk kepentingan masing-masing.

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mendakwa DJZ hanya memperjuangkan kaum Cina tetapi mahu mendapat sokongan kaum lain untuk kepentingan mereka.

Setiausaha Agung GPMS, Sobri Ahmad berkata, tindakan berkenaan sama dengan menentang kerajaan.

Beliau juga mempersoalkan mengapa DJZ tidak mendesak kerajaan mengadakan kelas bahasa Mandarin dalam sekolah kebangsaan untuk anak-anak Melayu.

Katanya, jika DJZ benar-benar ikhlas dalam perjuangan isu pendidikan, maka pertubuhan itu sepatutnya menyokong kelas Mandarin diadakan di sekolah kebangsaan supaya semua kaum dapat memahaminya.