Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buku: Bos Goldman, IPIC terbabit dalam urusan ‘gelap’ 1MDB
Diterbitkan:  Sep 14, 2018 12:34 PM
Dikemaskini: 4:37 AM

Bekas presiden kumpulan Goldman Sachs, Gary Cohn dan pengerusi International Petroleum Investment Co (IPIC), Sheikh Mansour Zayed al Nahyan, terbabit dalam beberapa urusan ‘gelap’ atau meragukan dengan 1MDB, menurut sebuah buku mengenai skandal itu.

Buku "Billion Dollar Whale" oleh wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope, mendakwa bahawa Cohn menyokong perjanjian Goldman dengan 1MDB dan meminggirkan eksekutif yang tidak selesa dengan rancangan itu.

"Sokongan individu yang berkedudukan tinggi dan berkuasa seperti Cohn memberi perlindungan penting kepada mereka yang terlibat dalam urusan 1MDB dan meminggirkan mereka yang tidak selesa dengan rancangan untuk mengumpulkan berbilion ringgit untuk dana itu," kata petikan buku itu yang dilaporkan oleh Bloomberg.

Bloomberg berkata bahawa Cohn tidak menjawap atau memberi maklum balas permohonan mereka untuk mendapatkan ulasan.

Eksekutif kanan itu meninggalkan Goldman pada tahun 2016 dan kemudian menjadi penasihat ekonomi White House kepada Presiden AS, Donald Trump - jawatan yang dipegangnya hingga awal tahun ini.

Goldman, melalui bekas eksekutifnya, Tim Leissner, membantu menerbitkan bon bernilai AS$6.5 bilion untuk 1MDB pada tahun 2012 dan 2013 dan membuat komisyen bernilai AS$593 juta.

Adalah dipercayai bahawa AS$2.6 bilion telah diselewengkan dari bon yang diterbitkan oleh Goldman itu.

Sementara itu, buku berkenaan juga mendakwa Leissner bersama dalang skandal 1MDB, Jho Low, berjumpa dengan Sheikh Mansour pada bulan Mac 2012 untuk membincangkan perjanjian di mana IPIC akan menjamin hutang 1MDB sebagai pertukaran untuk firma Abu Dhabi mendapatkan hak membeli pegangan saham dalam aset kuasa 1MDB.

Buku itu mendakwa Sheikh Mansour telah meluluskan cadangan itu, yang digambarkan sebagai "artificial construct" yang bertujuan untuk mengalihkan lebih AS$1billion dari 1MDB.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS