Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri selepas dia dilantik menjadi perdana menteri.

Ketua Umum PKR itu berkata, sekarang belum masanya Wan Azizah meletakkan jawatannya dalam kabinet.

“Kenapa Wan Azizah tidak letak jawatan? Kalau Wan Azizah letak jawatan, nanti hilanglah jawatan timbalan perdana Menteri dari PKR.

“(Dan) saya juga sudah beritahu dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, kalau saya menang (kerusi Parlimen Port Dickson), saya tidak mahu masuk kerajaan sekarang, saya nak bagi laluan kepada Dr Mahathir untuk menggalas tanggungjawab dia sehingga giliran saya.

“Jadi sabarlah, saya dilantik, Dr Wan Azizah akan letak (jawatan TPM). Bila? Bila giliran saya jadi PM. Tak payah orang sibuk dari awal, suruh dia (Wan Azizah) letak (jawatan). Ini yang berlaku dalam negara tapi sabarlah. Orang bangkitkan (tentang perkara ini), saya jelaskan,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 anggota PKR dalam program Bicara Maal Hijrah bertajuk “Hijrah ke Arah Malaysia Baru” di Dewan Utama Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di Johor Bahru hari ini.

Hari ini, sebuah pertubuhan veteran tentera dilaporkan memberi amaran kepada Anwar agar tidak mewujudkan dinasti keluarga di Parlimen, sebaliknya pemimpin PKR itu seharusnya meminta isterinya, Dr Wan Azizah atau anak perempuannya, Nurul Izzah mengosongkan kerusi Parlimen mereka.

Persatuan Patriot Nasional (Patriot) dilaporkan sebagai berkata, keluarga itu berkemungkinan dituduh nepotisme jika Anwar berjaya ke parlimen.

Anwar, 71, yang bakal memegang jawatan Presiden PKR secara rasmi November ini, diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson setelah penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta, dua hari lepas.

'Orang hormat sebab PKR kuat'

Sementara itu, Anwar turut mengakui letih untuk menjawab soalan mengenai perhubungannya dengan Dr Mahathir.

“Ya, satu dunia tahu saya musuh dia. Satu dunia tahu memang kita geng kuat (ketika dalam kerajaan dahulu). Bila bergaduh paling sengit, perang habis-habisan, sekarang kita berdamai. Patut semua sokong.

“Saya dan Dr Mahathir berdamai supaya apa yang berlaku dulu akan dihentikan. Kita rasakan dengan gandingan kekuatan baru ini, kita boleh tumbangkan kerajaan BN,” katanya.

Anwar juga berkata pemilihan parti pada November ini penting terutamanya dalam memastikan idealisme perjuangan parti terus dipegang oleh anggotanya, selain memastikan anggotanya boleh bekerja sebagai satu pasukan dan tetap setia dengan perjuangan parti.

“Sebab itu, pemilihan parti ini penting. Jangan saya (sudah) berdamai dengan Dr Mahathir (tetapi) ada pula bunyi, suara-suara sumbang dalam parti. Orang hormat parti kita sebab parti kita terkuat dan terbesar. Jika beri pendapat boleh, tapi kena ikut ruang betul,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS