Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Deepak lapor polis terhadap Shafee, Najib, Azeez
Diterbitkan:  Sep 15, 2018 4:40 PM
Dikemaskini: 8:46 AM

Saudagar karpet Deepak Jaikishian membuat laporan polis malam tadi terhadap bekas peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan bekas pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Deepak mendakwa mereka campur tangan dalam saman yang difailkan balu mendiang penyiasat persendirian (PI) P Balasubramaniam mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu, yang mana beliau juga defendan dalam kes tersebut.

Ahli perniagaan itu membuat laporan di balai polis Dang Wangi dan mendakwa dirinya dipaksa mengambil Shafee sebagai peguamnya dalam kes itu atas arahan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Shafee diambil oleh Najib untuk mewakili saya dalam saman tersebut yang bertentangan dengan hasrat saya.

"Shafee dipaksakan untuk menjadi peguam saya semata-mata atas (kuasa) bekas perdana menteri dan keluarganya yang menggunakan jabatan kerajaan dan institusi kewangan berkaitan kerajaan bagi meletakkan tekanan untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan melalui intimidasi dan ancaman," katanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini.

Menurut Deepak, Shafee dan Azeez bertindak menurut arahan Najib dan menghalangnya daripada disoal dalam pemeriksaan balas terhadap kenyataan pembelaannya yang bertentangan pada tiga keadaan - 19 Mac, 27 Mac dan 13 April.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Februari lalu membenarkan Deepak disoal dalam pemeriksaan balas mengenai kenyataan pembelaannya - oleh Americk Sidhu, peguam kepada A Santhamil Selvi, balu mendiang Balasubramaniam pada 26 Oktober tahun lepas dan satu lagi yang difailkan oleh firma Shafee pada 7 November 2017.

Dalam pernyataan pertahanan pertamanya, Deepak menegaskan "kebenaran mengenai apa yang sebenarnya terjadi yang jelas membabitkan Najib dan isterinya Rosmah Mansor dalam kes pembunuhan Altantuya."

Deepak mendakwa dirinya dipaksa oleh Shafee untuk dimasukkan ke hospital kerajaan (19 Mac), ke sebuah hospital swasta (27 Mac) dan di sebuah hospital swasta di New Delhi (13 April).

Deepak selanjutnya mendakwa sebelum pemeriksaan pada 19 Mac lalu, Shafee memintanya supaya tidak hadir di mahkamah kerana beliau tidak mahu memberikan kesaksian palsu semasa pemeriksaan balas.

Saudagar karpet itu menyebut dakwaan Shafee di mahkamah bahawa anak guamnya telah datang ke pejabatnya dan muntah darah - yang membuatkan beliau dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras - merupakan "suatu pembohongan secara terang-terangan."

Sebelum tarikh perbicaraan 27 Mac itu, Deepak mendakwa dirinya terpaksa dimasukkan ke hospital swasta untuk mengelak daripada memberi keterangan.

Pada kesempatan yang ketiga, Deepak berkata Azeez memaksa dirinyaa bertemu Shafee, di mana beliau disarankan agar pergi ke luar negara ke India untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.

Dalam laporan polisnya, Deepak menyatakan bahawa beliau mempunyai rakaman audio dan visual bagi menunjukkan bahawa Shafee dan Azeez cuba untuk memutarbelitkan sistem keadilan.

Malaysiakini cuba menghubungi Shafee bagi mendapatkan ulasannya.

Selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 9 Mei, ahli perniagaan itu menghentikan khidmat Shafee dan melantik seorang peguam baru, RK Nathan.

Deepak sebelum ini menyatakan bahawa walaupun Najib, Rosmah, dua daripada adik Najib dan empat yang lain berjaya membatalkan saman Santhamil, tetapi beliau akan membawa kesemua defendan itu kembali ke mahkamah sebagai tuntutan pihak ketiga.

Mahkamah Tinggi juga telah menerima kenyataan pembelaan yang pertama.

Deepak dilihat sebagai pihak yang bertanggung jawab dalam penarikan balik akuan bersumpah Balasubramaniam pada 4 Julai 2008 mengenai pembunuhan Altantuya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS