Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keluhan mahasiswa tentang autonomi universiti akhirnya didengar'
Diterbitkan:  Sep 16, 2018 12:45 PM
Dikemaskini: 5:05 AM

Pemuda DAP menyifatkan hasrat kerajaan mengkaji semula tatacara pelaksanaan pilihan raya kampus sebagai "langkah berani" dalam mengembalikan autonomi pelajar universiti.

"Sepanjang masa ini, pilihan raya kampus yang dikendalikan oleh Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (HEP) Univerisiti Awam telah gagal memaparkan satu sistem pilihan raya yang bersih dan adil.

"Telah menjadi satu fakta yang diketahui umum bahawa Bahagian HEP Universiti Awam adalah lebih memihak kepada pro-aspirasi dan sejurusnya bertindak tidak adil kepada kesemua pelajar-pelajar.

"Keputusan Kementerian Pendidikan ini menandakan satu permulaan yang baik dan bagaikan cahaya di sebalik kegelapan. Keluhan bertahun-tahun mahasiswa-mahasiswi telah didengar," kata Ketua Pemuda DAP, Wong Kah Woh dalam hari ini.

Wong yang juga merupakan anggota parlimen Ipoh Timur menambah, ia juga menunjukkan bahawa Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengiktiraf kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun mahasiswa.

"Pemuda DAP berharap bahawa ini akan membuka satu lembaran yang baru yang mana penukaran fikiran dan interaksi antara Kementerian Pendidikan dan aktivis-aktivis pelajar akan bertambah baik dan lebih erat demi untuk mencapai satu pembaharuan dalam sistem pendidikan tinggi di negara ini.

"Pembaharuan pilihan raya kampus hanya merupakan salah satu usaha awal untuk mengembalikan autonomi pelajar.

"Kerajaan sekarang turut perlu memastikan bahawa tidak ada campur tangan politik dalam hal-ehwal kampus," katanya.

Wong turut memuji komitmen yang dinyatakan Maszlee bahawa kerajaan persekutuan akan menghapuskan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).

"Pemuda DAP akan memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Pendidikan, di dalam dan di luar Parlimen, dalam mencapai hasrat (pemansuhan Auku) ini," katanya.

Sementara itu, pandangan serupa turut disuarakan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). 

"Sesungguhnya langkah ini menzahirkan komitmen kerajaan baharu dalam merealisasikan agenda reformasi secara menyeluruh dalam negara termasuklah dalam perkara melibatkan hal ehwal kepimpinan mahasiswa.

"Sokongan penuh PKPIM zahirkan untuk agenda-agenda lanjutan yang mengangkat tema reformasi-islahiy," kata Presiden persatuan itu Muhammad Khair Sujud dalam kenyataan berasingan hari ini.

Mahasiswa sebagai kuasa ketiga

Tambah Muhammad Khair, langkah itu dapat membuka ruang ke arah pengendalian pilihan raya kampus yang lebih telus dan merupakan pengiktirafan kepada perjuangan gerakan mahasiswa menuntut hak bersuara serta autonomi universiti badan pelajar.

"PKPIM berpandangan penglibatan mahasiswa dalam proses pilihan raya kampus tidak harus disempitkan dalam soal mengurus hal ehwal kebajikan mahasiswa semata, tetapi seharusnya tampil berani memainkan watak kuasa ketiga, sebagai kuasa semak dan imbang terhadap dasar kerajaan dan tindak-tanduk pembangkang.

"Inilah semangat yang sewajarnya mendasari Seksyen 15 Auku (Pindaan 2012). Bukan kebebasan yang berwenang-wenangan, sebaliknya kebebasan yang membina tamadun khayra ummah dan kesejahteraan negara," katanya menegaskan bantahan terhadap salah guna peruntukan Auku terhadap pelajar.

PKPIM juga menggesa mahasiswa memanfaatkan peluang itu untuk melahirkan lebih ramai pimpinan mahasiswa yang berkualiti dan mewujudkan garis pemisah yang membezakan pemikiran politik nasional dan idealisme poltik mahasiswa.

"Bantahan terhadap soal prinsip kebebasan berkarya dan berjasa kepada masyarakat oleh mahasiswa, merupakan suatu prinsip yang tidak boleh ditawar-tawar," katanya.

Media semalam melaporkan kenyataan Kementerian Pendidikan untuk menyemak semula tatacara pelaksanaan pilihan raya kampus.

Langkah berkenaan dikatakan diambil bagi memberi laluan kepada pelajar melaksanaka pilihan raya kampus secara telus dan bebas mengikut acuan kepemimpinan mereka tanpa campur tangan pihak pengurusan universiti.

Perkara berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan PRK antara Jabatan Pendidikan Tinggi, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan Pegawai Undang-undang UA semalam, yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsi.

Lihat Komen
ADS