Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Penahanan aktivis: Pemuda AMANAH, WARISAN berbeza pandangan
Diterbitkan:  Sep 16, 2018 4:21 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) dan seorang timbalan menteri daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) berbeza pandangan berhubung penahanan lapan aktivis remaja yang melakukan protes pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu Sabah pagi ini.

Mereka menyatakan 10 tuntutan termasuk penyelesaian terhadap isu rakyat tanpa kewarganegaraan di Sabah, keselamatan perairan, isu pendidikan dan kemiskinan.

Portal dalam talian The Malay Mail memetik Timbalan Menteri Dalam Negeri Azis Jamman sebagai berkata, tiada keperluan untuk melakukan protes yang menyaksikan penyertaan kira-kira 100 orang itu kerana kerajaan terbuka untuk mengadakan perbincangan terhadap tuntutan mereka.

Beliau merujuk tindakan Ketua Pemuda AMANAH Sabah, Mohd Khairudin Daud yang terlibat dalam protes berkenaan dan merupakan salah seorang daripada lapan aktivis yang ditahan hari ini.

"Kenapa mesti mereka protes hari ini? Sebagai sebahagian daripada parti yang mesra kerajaan, beliau (Mohd Khairuddin) sepatutnya tahu menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan rasa tidak puas hati," kata Azis.

"Tulis kepada kami dan kita boleh adakan perbincangan meja bulat. Itulah cara untuk selesaikannya.

"Mereka perlu buang mentaliti pembangkang dengan melakukan protes dan keluar di jalan," kata Anggota Parlimen Sepanggar itu dipetik sebagai berkata.


Baca: 8 aktivis pelajar ditahan di himpunan 'Pandang Sabah'


Sementara itu, Pemuda AMANAH mengutuk penahanan dilakukan pihak polis,

Naib ketuanya, Shazni Munir Mohamad Ithnin berkata tangkapan yang dilakukan ketika rakyat meraikan sambutan Hari Malaysia merupakan insiden yang memalukan negara dan tidak boleh diterima.

"Kepimpinan negeri dan negara wajar menghormati suara dan pandangan anak-anak muda yang kritikal terhadap polisi dan masa depan tanah air.

"Malaysia Baru harus benar-benar baru. Usah diulangi tatacara angkuh kerajaan terdahulu," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Shahzni, program Pandang Ke Sabah merupakan kempen anjuran anak-anak muda negeri itu bagi menuntut dasar dan polisi yang lebih baik untuk masa depan mereka.

Awal pagi ini, seramai 8 aktivis pelajar yang terlibat dalam protes berkenaan ditangkap dan dibawa ke balai polis Karamunsing di Kota Kinabalu.

Malaysiakini difahamkan bahawa polis telah selesai merekodkan kenyataan mereka kira-kira pukul 2 petang.

Malay Mail memetik Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah menafikan dakwaan bahawa anggotanya bertindak dengan ganas terhadap peserta protes.

Sebaliknya mengatakan kumpulan itu enggan bersurai apabila diarah berbuat demikian.

Lihat Komen
ADS