Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PAS pertahan Jabatan Amal, anggap pakaian tentera 'biasa'

MUKTAMAR | PAS mempertahankan tindakan Jabatan Amalnya memakai pakaian yang didakwa menyerupai seragam nombor satu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika upacara perbarisan kehormat sempena muktamar parti itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mengulas gesaan Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) agar pihak berkuasa mengambil tindakan berhubung pakaian seragam berkenaan.

“Pada umumnya pakaian nombor satu (ATM) adalah normal, itu biasa sahaja. Kenapa PATRIOT ini tidak membantah penjualan pakaian tentera, polis di kedai-kedai biasa, kenapa tidak desak kerajaan supaya kawal perkara itu. Di belakang pejabat PAS itu semua pangkat ada.

“Saya merasakan bahawa PATRIOT tidak ada isu. Sebelum ini mereka ada bergaduh dengan beberapa pihak yang lain.

"Jadi saya rasa pakaian nombor satu ini tidak ada larangan legalnya, setiap pertubuhan ada pakaian sendiri,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Muktamar Kali Ke-64 di Kuala Terengganu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan Presiden PATRIOT Datuk Mohamad Arshad Raji mengkritik dan yang menyatakan rasa terkejut apabila Jabatan Amal berpakaian seragam yang menyerupai seragam nombor satu ATM, lengkap dengan pingat dan menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan tentera.


Baca: PATRIOT kecam perbarisan anggota PAS dalam seragam serupa tentera


PATRIOT turut menggesa Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan segera.

Sementara itu, Takiyuddin berkata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri diiring oleh bekas tentera yang memakai pingat ketika pemeriksaan perbarisan itu, semalam.

“Ada pegawai Jabatan Amal itu bekas anggota tentera, pengiring itu adalah bekas anggota tentera.

“Kita ada tujuh jenis pakaian untuk Jabatan Amal, bagi kita bukan satu kesalahan dan kita tidak mengambil peluang untuk menyamar kerana ini adalah sebahagian daripada pertubuhan kita yang berdaftar," jelasnya.

Lihat Komen
ADS