Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Shafie: Sabah perlu lebih banyak dana untuk pembangunan

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, rakyat negeri itu kini mempunyai harapan lebih tinggi untuk melihat Sabah mencapai kemakmuran ekonomi, kestabilan politik dan kesejahteraan.

Justeru itu katanya kerajaan negeri memerlukan lebih banyak peruntukan untuk membawa pembangunan ke negeri itu.

“Untuk merealisasikan semua ini, Sabah memerlukan lebih banyak dana atau peruntukan untuk pembangunan di negeri ini. Kita amat berharap agar di bawah kerajaan baru, sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri, lebih banyak pembangunan serta kemajuan akan dibawa di negeri ini.

“Kerajaan negeri Sabah akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan hak dan kepentingan rakyat Malaysia di negeri ini terus terpelihara,” katanya seperti dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia 2018 di Padang Merdeka, di Kota Kinabalu malam ini.

Sambutan acara itu dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Embas, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2018 Gobind Singh Deo serta anggota kabinet negeri dan persekutuan.

Sementara itu, Mohd Shafie yang juga menteri kewangan Sabah mengajak semua pemimpin kerajaan sama ada di peringkat persekutuan dan negeri serta rakyat agar terus bersatu untuk membawa perubahan.

“Siapa sahaja kita, negara ini milik kita semua. Anggaplah Malaysia sebagai rumah, kita semua adalah sebuah keluarga besar yang tinggal dengan harmoni dan sejahtera di dalamnya,” katanya.

Mengenai Hari Malaysia dan pembentukan persekutuan Malaysia, Mohd Shafie berkata Malaysia terbina atas ‘pakatan murni’ untuk membentuk sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Justeru katanya semua pihak perlu kembali semula kepada perkara yang termeterai dalam Perjanjian Malaysia 1963.

 

Lihat Komen
ADS