Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes gangguan seksual hospital: Bekas ketua jabatan digantung tugas

Bekas ketua jabatan di sebuah hospital awam di Lembah Klang yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap doktor pelatih sebelum ini telah dikenakan tindakan digantung tugas.

Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan itu dibuat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dalam mesyuarat yang diadakan pada 14 September lalu.

“Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima maklum balas daripada SPA yang menyatakan bahawa suruhanjaya itu telah membuat keputusan untuk mengenakan Perintah Tahan Kerja di bawah Peraturan 43 ke atas ketua jabatan berkenaan selama dua bulan mulai 17 September (Isnin),” katanya dalam sidang media di Hospital Sungai Buloh, hari ini.

Akhir Julai lalu, The Star melaporkan kes melibatkan gangguan seksual dan buli oleh seorang ketua jabatan ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang.

Akhbar itu turut mewawancara beberapa pegawai perubatan mengenai pengalaman mereka dengan seorang doktor ketua jabatan Ortopedik di sebuah hospital di Lembah Klang itu yang mendakwa sering kali menggunakan kuasa dan autoritinya bagi mensasarkan para pegawai perubatan wanita muda.

Mengulas lanjut Dzulkefly berkata penggantungan itu bagi membolehkan siasatan lanjut oleh pihak berkuasa berkaitan dijalankan ke atas ketua jabatan itu.

“Susulan daripada arahan Perintah Tahan Kerja tersebut, KKM akan memulakan siasatan dalaman pada minggu hadapan sebelum laporan siasatan diserahkan kepada SPA bagi tujuan penamatan perkhidmatan ketua jabatan tersebut.  

“Siasatan juga termasuk dari Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

"Seperti yang dilaporkan baru-baru ini, KKM telah serahkan kes salah laku seksual kepada  SPRM termasuk salah guna kuasa dalam perkara yang kami telah butirkan yang kami majukan kepada SPRM,” katanya.

Manakala menjawab persoalan berhubung penamatan perkhidmatan doktor berkenaan, ia akan ditangani oleh SPA, kata Dzulkefly.

“Sama ada beliau berhak untuk mempertahankan kedudukannya adalah hak beliau,” katanya.

Dzulkefly dalam masa yang sama turut menyatakan kementeriannya menyarankan kepada Majlis Perubatan Malaysia agar membatalkan perkhidmatan perubatan doktor terbabit.

Beliau turut menambah, sejak doktor berkenaan berkhidmat di Hospital Sungai Buloh pada 2009, seramai 38 yang bekerja di bawahnya didakwa menjadi mangsa gangguan seksual.

Sementara itu, jels Dzulkefly, tiada pelatih yang mengalami gangguan seksual berkenaan dipindahkan.

“Tidak ada pemindahan langsung dalam waktu terdekat ini dan setiap kes itu akan kami nilai secara adil dan saksama,” katanya.

Lihat Komen
ADS