Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KJ salahkan Zahid kerana Tok Pa keluar Umno
Diterbitkan:  Sep 18, 2018 10:36 PM
Dikemaskini: 6:24 PM

Bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyalahkan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan bekas anggota majlis tertinggi Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed keluar daripada parti itu.

Beliau berkata kerjasama yang dihulurkan parti itu dengan PAS menyebabkan Umno kini 'kehilangan sinarnya'.

"Saya telah bersuara dalam mengingatkan parti saya terhadap pakatan dengan PAS. Dan saya menanggung serangan dari dalam.

"Sekarang, kita telah kehilangan sinar utama parti kita. Seorang pemimipin yang pintar dan baik. Ini semua salah kamu, Mr Presiden," katanya di Twitter hari ini susulan pengumuman Mustapa.

Mustapa, yang mendapat undi terbesar dalam pemilihan majlis tertinggi Umno mengumumkan peletakan jawatannya malam ini.

Dalam pengumumannya, beliau percaya hala tuju yang diambil Umno pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini dan tidak banyak usaha untuk melakukan proses rejuvenasi parti itu.

"Maka atas dasar inilah, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ahli Umno setelah lebih 40 tahun berkhidmat untuk parti ini," katanya.

Angota Parlimen Jeli itu juga berpendapat usaha ke arah memulihkan imej dan kepercayaan terhadap parti itu kini semakin sukar.

''Apa salahnya kerjasama dengan PAS?'

Sementara itu, Exco Pemuda Umno dan Ketua Pemuda Umno Segamat Bastien Onn menyifatkan keputusan Mustapa sebagai mengejutkan menjelang Perhimpunan Agung Umno.

Menurut Bastien sekiranya Mustapa menggunakan alasan kerjasama dengan PAS sebagai punca masalah, beliau sepatutnya membangkitkan perkara itu mengikut saluran parti.

"PAS merupakan parti dominan di Pantai Timur, apa salahnya Umno bekerjasama dengan PAS di mana semacam Umno bekerjasama dengan MyPPP dalam kerangka BN.

"Kerjasama PAS dan Umno semacam PAS masuk BN," katanya dalam satu kenyataan.

Umno dan PAS sebelum ini berbincang untuk menjalinkan kerjasama selama berbulan-bulan lamanya, termasuk menyokong kempen antara satu sama lain dalam beberapa pilihan raya kecil.

Pada 15 Sept, Zahid mengetuai delegasi pemimpin Umno menghadiri muktamar PAS di Kuala Terengganu.

Zahid juga dilapor berkata beliau percaya jalinan kerjasama antara Umno dan PAS adalah jujur atas persefahaman dalam menegakkan syiar Islam

Bagaimanapun, Zahid berkata pembentukan sebuah gabungan pembangkang untuk menghadapi PRU15 perlu diperhalusi di pelbagai peringkat.

Lihat Komen
ADS